TPPA: ‘Black Monday’ bagi Malaysia dan rakyatnya

MOHD NIZAM MAHSHAR | .

5 Oktober 2015. Satu hari yang sangat menyedihkan bagi Malaysia dan rakyatnya. Tidak salah jika Isnin pertama di dalam bulan Oktober tahun ini digelar sebagai “Black Monday”.

Perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) telah berakhir semalam di Atlanta, Amerika Syarikat. Di dalam sebuah kenyataan media, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan bahawa orang ramai boleh meneliti teks perjanjian yang lengkap dan rasmi apabila ia dikeluarkan nanti. Dokumen lengkap itu juga akan dibahaskan di Parlimen.

Sesungguhnya, kenyataan Datuk Seri tiada maknanya. Walaupun kandungan Perjanjian tersebut boleh dibahaskan, ia tidak boleh dipinda sama sekali. Pendapat umum juga tidak dapat mengubah apa-apa peruntukan di dalam perjanjian. Kita boleh berdebat mengenai setiap klausa di dalam Perjanjian dan menunjukkan kekuatan atau kelemahannya TETAPI kita tidak boleh mengubah apa-apa perkataan atau ayat atau perenggan. Selepas lima tahun berunding, penggubal undang-undang dan rakyat Malaysia hanya boleh memberi pendapat yang tidak dapat digunapakai kerana hanya keputusan YA atau TIDAK sahaja yang diperlukan. Dan kata putus ini hanya boleh dibuat oleh Perdana Menteri kita, di atas nasihat Kabinet.  

Apa yang dijanjikan oleh Datuk Seri hanyalah suatu perbahasan di Parlimen. Apa yang tidak diterangkan kepada umum ialah kelulusan parlimen tidak diperlukan bagi menandatangani mana-mana perjanjian perdagangan antarabangsa, termasuklah TPPA. Kuasa untuk menentukan Malaysia berada di dalam TPP berada di dalam tangan pihak Eksekutif.  

MITI tidak perlu bermanis mulut. Perjanjian ini adalah muktamad. Tiada satu negara pun yang pernah menarik diri dari sebuah perjanjian perdagangan setelah perundingan diselesaikan.

Malaysia tidak boleh meminda apa-apa klausa pun semasa proses ratifikasi yang akan memakan selama dua tahun. Semasa proses ini, apa yang perlu dipinda adalah undang-undang domestik, dan juga Perrleataupun Perlembagaan negara jika perlu, agar ia mematuhi TPPA. Perlu diingatkan bahawa ratifikasi tidak memerlukan kelulusan Parlimen. Ratifikasi adalah seperti tempoh bertenang (cooling off period); selepas itu Malaysia perlu bersedia menghadapi ancaman saman mahkaman antarabangsa oleh pelabur asing melalui mekanisma Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) mekanisme, dan juga melalui mekanisma Penyelesaian Pertikaian Antara Negara (SSDS) yang mungkin melibatkan sekatan perdagangan.

Pegawai-pegawai yang berkenaan telah membuat pelbagai kenyataan yang kurang jelas dan mengelirukan mengenai keseluruhan proses TPPA kepada umum/media. Berdasarkan komen yang kami dapati dari laman rangkaian sosial dan perbincangan kami dengan pihak media, kami boleh merumuskan bahawa ramai di luar sana yang  menganggap bahawa perjanjian perdagangan ini boleh diubah melalui proses domestik setelah rundingan ditamatkan dengan beberapa cara berikut iaitu legal scrubbing, konsultasi, bahas parlimen ataupun semasa proses ratifikasi. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa tiada perubahan yang boleh dibuat selepas proses perundingan tamat.

Bantah telah menghantar pelbagai soalan, memorandum dan cadangan kepada pihak kerajaan mengenai TPP; namum kami tidak dapat satu pun jawapan yang memuaskan. Sebaliknya apa yang telah diberkan hanyalah maklum balas yang bersifat umum, tidak spesifik dan “superficial”.  

Analisa Kos Faedah (Cost Benefit Analysis CBA) atau Analisa Kepentingan Negara (National Interes Analysis, NIA) yang telah dijanjikan oleh pihak MITI telah banyak kali tertangguh dan sejak akhir tahun lalu, tarikh penyelesaiannya ditangguhkan setiap bulan sejak Mei 2015. Sehingga kini, ia belum lagi disiapkan dan dibentangkan di Parlimen. Keadaan ini sungguh tidak masuk akal memandangkan kita hanya ada tiga (3) bulan dari tarikh rasmi tamat perundingan TPPA hingga ke tarikh perjanjian itu akan ditandatangani oleh pemimpin negara.  Jika analisa-analisa ini dilakukan pada peringkat awal, ia boleh memberikan rakyat dan pihak berkepentingan pemahaman yang lebih mendalam terhadap TPPA dan implikasinya.

Adakah tiga (3) bulan cukup bagi kita untuk memahami, menganalisa, membahaskan, mendidik orang awan dan juga membuat keputusan yang sangat penting bagi Malaysia? Mengapa ia tidak dilakukan dalam tempoh lima (5) tahun yang lepas semasa rundingan sedang berjalan?  Dalam hal ini, kami percaya kerajaan telah GAGAL dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap rakyat kerana tidak berjaya untuk melakukan satu kajian mendalam seperti sebuah CBA yang boleh dibahaskan sebelum rundingan TPPA tamat pada Oktober 5, 2015.

Walaupun rundingan telah selesai, Bantah masih bertegas dan tanpa ragu-ragu berpegang kepada pendapat bahawa TPPA tidak akan memberi manfaat kepada Malaysia, terutama sekali di dalam konteks perdagangan ataupun ekonomi. Ia juga tidak akan memberi manfaat kepada mata pencarian rakyatnya.  Tiada bukti telah dikemukakan dalam tempoh lima tahun yang lalu, tidak ada data konkrit, fakta atau analisis, selain omong kosong oleh mereka yang menyokong dan mengangkat TPPA sebagai satu perubahan yang baik untuk negara.

Pendapat kami tidak pernah berubah dan secara konsistennya kami menyatakan kegusaran kami mengenai TPPA melalui laporan yang diterbitkan tahun lepas “TPPA Malaysia is Not for Sale” dan juga 77 “redlines” atau garis merah di mana kami menyenaraikan antara masalah utama akibat TPPA ialah:

· Sekatan ke atas ruang dasar Kerajaan (policy space)

· pencerobohan kedaulatan undang-undang dan politik

· PKS dan industri baru (infant industries) akan menghadapi impak besar

· Impak yang besar ke atas kos ubat-ubatan yang akan meningkat

· Kesan terhadap hak intelek (Intellectual Property IP) yang akan juga memberi kesan kepada institusi ilmu dan industri informasi (information industries)

· Perusahaan/Syarikat Milik Negara (State Owned Enterprises SOEs) tidak boleh berfungsi sebagai badan komersial dan sosial yang dipandu oleh objektif nasional

· Pelabur/Syarikat luar perlu diberi layanan sama atau lebih baik dari syarikat tempatan

Kami percaya konsesi yang diberi dari segi pengecualian, kelonggaran, tempoh peralihan dan “differential treatment” bukanlah “safe solutions” atau langkah penyelesaian yang selamat tetapi adalah semata-mata taktik yang penuh dengan perangkap tersembunyi yang memudaratkan.

Bermula dari semalam (Oktober 5, 2015) hinggalah 90 hari yang berikutnya, Malaysia mempunyai hanya DUA (2) pilihan: Terima TPPA atau tolak TPPA.

Namun, kami percaya rakyat masih boleh bersuara. Kita ada kuasa untuk bersuara, memberikan pendapat yang ikhlas. Oleh itu, berikanlah pandangan anda. Bersuaralah.
 
Menurut pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Ekonomi Joseph E Stiglitz dan juga Adam S Hersh di dalam artikel “Don’t let TPP jeopardize Malaysia’s Economic Development” yang disebarkan oleh Bantah minggu lepas: “Perjanjian seperti ini bukanlah perjanjian perdagangan bebas tetapi sebenarnya adalah perjanjian perdagangan yang diuruskan (managed trade agreements)  dan lazimnya dikendalikan untuk kepentingan-kepentingan korporat.” Kita juga patut risau dengan kenyataan ini: “. Tidak menghairankan bahawa pemenang besar adalah kepentingan korporat di Amerika Syarikat, yang rugi besar adalah rakyat biasa di Amerika Syarikat dan di tempat lain.”

Majlis menandatangani Perjanjian TPP pada Januari 2016 akan bertepatan dengan ulang tahun 140 tahun Perjanjian Pangkor. Fikir-fikirkanlah.

Ini adalah legasi pemimpin kita. Keputusannya akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan generasi seterusnya.

Jangan biarkan sejarah berulang.

Tolak TPPA. Hentikan TPPA. - HARAKAHDAILY 6/10/2015

Penulis ialah Pengerusi Bantah TPPA

Share on Myspace