Takziah buat keluarga Allahyarham Azman Eusoff

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Selangor mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham Azman Eusoff, 51 tahun yang meninggal dunia di Hospital KPJ Specialist Centre, Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang akibat jangkitan kuman di paru-paru semalam.

Pengarah DACS Selangor, Muhammad Fazli Abu Bakar berkata, Allahyarham menyandang jawatan sebagai Ketua Jurulatih Felcra FC pada ketika ini dan pernah menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan dan beberapa kelab bola sepak di dalam dan di luar negara.

Beliau juga kerap diundang menjadi pengulas bola sepak di stesyen televisyen dan radio di seluruh negara.

Katanya lagi, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga bola sepak di seluruh negara. Ini kerana bukan sedikit sumbangan yang telah beliau berikan kepada pembangunan bola sepak negara dan ianya cukup membanggakan.

Allahyarham Azman Eusoff adalah jurulatih bolasepak professional yang memiliki Lesen Kejurulatihan ‘A’ Persatuan Bolasepak Malaysia dan juga Sijil Kejurulatihan dari Arsenal FC, England. Dahulu, Allahyarham bermain di posisi penjaga gol.

Allahyarham mempunyai pengalaman yang amat luas di dalam dunia bolasepak professional tempatan dan antarabangsa.

Di antara kejayaan terbaik Allahyarham ialah pernah melatih pasukan Kedah dalam Liga Malaysia dan menjuarai kesemua Piala yang dipertandingkan iaitu Piala Malaysia, Liga Divisyen 1 dan 2, Piala FA, Piala Presiden, Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong.

Allahyarham juga pernah mengendalikan Kelab DPMM FC Brunei pada tahun 2002-2003 sehingga dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Liga Brunei pada tahun yang sama. Juga pernah melatih Pasukan Dong Tham FC Vietnam pada tahun 2004 dan menjadi Naib Juara Liga Vietnam pada tahun yang sama.

Allahyarham merupakan pengasas kepada Arsenal Soccer School Malaysia bersama Robert Rene Alberts, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia dan B. Sathianathan, bekas Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Malaysia.

"Begitulah deretan sumbangan Azman Eusoff sepanjang hayat beliau terhadap dunia bola sepak. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Timah selepas solat zohor tengahari 6 Ogos," kata beliau..

DACS Selangor menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar kita sama-sama mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat, ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu. Ameen. HARAKAHDAILY 7/10/2015.

Share on Myspace