Himpunan Fastaqim: Ayuh ke bumi 'Serambi Mekah'

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menyeru seluruh umat Islam dan ahli serta penyokong PAS untuk bersama menjayakan Himpunan Fastaqim yang akan diadakan di Kota Bharu, 17 Oktober ini.

Ketua Penerangannya, Ustaz Yusni Mat Piah berkata, Himpunan Fastaqim diadakan PAS selepas melihat suasana politik Malaysia hari ini menyebabkan rakyat semakin muak dan benci terhadap penyelewengan serta kezaliman yang dilakukan oleh Umno-BN.

"Selaku Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, saya menyeru kepada semua ahli dan pencinta kebenaran untuk kita hadir beramai-ramai menjayakan himpunan tersebut. Semua murabitun parti wajib menghadirkan diri sebagai membuktikan kecintaan kita terhadap parti dan perjuangan agung ini.

"Himpunan yang mensasarkan 60,000 kehadiran ini bakal menjadi 'turning point' kepada kemenangan Islam yang didambakan oleh semua pejuang. Ayuh, kita ke bumi Serambi Makkah menjayakan Himpunan Fastaqim," ujarnya.

Mutakhir ini kata beliau, rakyat juga dilihat semakin tidak berminat kepada parti politik yang menyajikan pelbagai siri pengkhianatan kepada rakan seperjuangan.

"Sedang umum menyaksikan, PAS sebagai sebuah gerakan Islam, dalam mendepani suasana ini, kekal istiqamah bersama Islam yang diperjuangkan. Bahkan PAS dilihat semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti yang diyakini untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala kebejatan dilakukan Umno-BN," katanya dalam satu ulasan kepada Harakah hari ini.

Kata beliau, setiap program dianjurkan PAS telah mendapat dokongan dan sokongan hebat daripada masyarakat.

Tambahnya, rakyat berpusu-pusu membanjiri Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) yang telah diadakan di seluruh negara.

Malah katanya lagi, dalam perhimpunan itu juga kita menyaksikan, ribuan borang keahlian baru PAS telah diserahkan kepada pimpinan PAS tanda rakyat begitu meyakini perjuangan ini.

"Kemuncak kepada episod kebangkitan rakyat ini, satu perhimpunan mega telah diatur. Perhimpunan gergasi yang diberi nama Himpunan Fastaqim akan berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-V, Kota Bharu, Kelantan tanggal 17 Oktober ini," katanya. HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace