Pondok Gelang Mas terima bantuan kerajaan negeri

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

PASIR MAS: Seramai 53 pelajar yang terbabit dalam kebakaran di Madrasah ad-Diniyah al-Yusufiyah, Gelang Mas menerima bantuan segera kerajaan negeri berjumlah RM23,800.

Setiap pelajar menerima sebanyak RM200 seorang, manakala 44 pondok yang terbakar pula diberi RM300 sebuah.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi semalam.

Turut hadir Adun Tendong, Rozi Muhamad, pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Pasir Mas serta Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan.

Mumtaz berharap pelajar madrasah terbabit tidak trauma dengan apa yang berlaku, sebaliknya menjadikannya sebagai perangsang.

“Kita hendaklah redha dengan ketentuan-Nya kerana Allah mungkin akan menggantikan yang lebih baik.

“Apa yang penting pelajar perlu terus menekuni ilmu sebanyak mungkin sebagai bekalan di masa hadapan. Jangan mudah patah semangat,” katanya di majlis berkenaan.

Ketika kejadian semua pelajar berada di masjid kerana sedang menekuni kitab disampaikan Tuan Guru Awang Yusof, 70 (Gambar kanan).

Ekoran kejadian itu sebanyak 44 daripada 127 pondok hangus terbakar yang melibatkan 53 pelajar. Pondok tersebut mempunyai 160 pelajar.

Turut menyampaikan bantuan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Hanifa Ahmad serta Adun Salor, Datuk Husam Musa mewakili Yayasan Darul Hijrah.

Pada lawatan itu Mumtaz turut meninjau kesan-kesan kebakaran di pondok berkenaan.

Pondok tradisional itu mula beroperasi pada 1985 diasaskan Tuan Guru Awang Yusof.

Ustaz Awang ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersimpati dan menyalurkan sumbangan.

Katanya, sumbangan orang ramai itu akan digunakan untuk membina pondok baru secepat mungkin.

“Pembinaan perlu disegerakan memandangkan ada kalangan pelajar terpaksa pulang ke rumah kerana ketiadaan tempat tinggal,” ujarnya.

“Binaan semula pondok akan dibuat bangunan konkrit bagi mengelakkan berulang peristiwa seperti berlaku semalam,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, pembelajaran di pondok itu akan tetap diteruskan biar pun sebahagian pondok musnah dalam kebakaran.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalur bantuan kewangan melalui akaun pondok Al-Madrasah ad-Diniyah al-Yusufiah (Bank Islam: 03027010048338).

Atau boleh membantu menyalurkan bahan-bahan binaan seperti simen, kayu, bumbung dan sebagainya.

Pondok Al Yusufiah yang lebih sebagai Pondok Gelang Mas, Pasir Mas antara institusi pondok tradisional yang terbesar di Kelantan. – HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace