TPPA: Kembali dijajah selepas 58 tahun merdeka

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

SETELAH banyak tenaga dicurahkan, puluhan tahun anak bangsa berjuang, banyak jiwa disumbat dalam penjara, ramai yang terkorban , bersusah payah perundingan antara kaum berjaya disepakati, hak umiputera dipertahankan, kedudukan Islam dipahat dalam perlembagaan. Bumi ini akhirnya mencapai kemerdekaan 58 tahun yang lalu.

Kini, dengan hanya satu tandatangan, tanah air yang disemboyan dengan Negaraku ini, kembali dijajah, kali ini bukan melalui hujung senapang tetapi melalui perjanjian perdagangan yang dicatur oleh Amerika Syarikat (AS).

Satu perjanjian yang mengikat dan mengunci negara sehingga negara berekonomi jauh lebih kuat kini boleh menguasai negara yang kecil, yang mudah dieksploitasi oleh syarikat gergasi dari luar seperti dari AS, Kanada dan Australia. Ia dianggap sebuah perjanjian mega (mega treaty) yang terbesar didunia.

Atas nama perjanjian dan perkongsian bergelar TPPA itu, hampir tidak ada bidang dalam urustadbir negara yang tidak terkesan; tender kerajaan, status syarikat milik kerajaan, kuasa menggubal dan menguatkuasakan undang-undang, bekalan ubatan dan kos kesihatan, kualiti alam sekitar, pengambilan tenaga kerja professional,  eksploitasi sumber bumi negara, kos sara hidup, perbankan, polisi kewangan, dasar pemeliharaan hak dan kedudukan bumiputera, status syariah dalam perundangan dan industri halal negara, kos pendidikan, kepentingan dan kedudukan usahawan tempatan, syarat dan peraturan pelaburan, kuasa legislatif dan kehakiman, kuasa agensi tempatan, peraturan tender dan pengambilan pekerja syarikat luar, regim percukaian, sosio-budaya dan pertahanan negara.

TPPA adalah alat penjajahan paling menyeluruh, lebih lengkap dan lebih menjamin kedudukan penjajah untuk merentas kuasa politik. Ia mengikat dan mengunci sifatnya sehingga sebarang peralihan kuasa politik kepada mana-mana parti politik sekalipun, tetap perlu mematuhi peraturan didalam TPPA yang telah dimeterai oleh kerajaan hari ini.

Anehnya, AS yang kini bukan sebenarnya sebuah ekonomi yang mapan dan boleh bertahan, malah sangat rapuh, namun AS menjadi penggerak untuk memeterai kesepakatan TPPA yang paling ghairah dan sangat bernafsu untuk memastikan 11 negara yang lain mengikut telunjuknya. Tujuannya jelas, dengan mengikat 40 % dari perdagangan dunia, disamping memeterai perjanjian perdagangan dengan negara-negara blok yang lain, AS akan dapat menjamin dasar luarnya untuk menguasai dunia.

Maknanya ekonomi AS akan dijamin oleh negara yang diperalatkan oleh nya melalui TPPA.

Padahal AS sebenarnya bermasalah dan boleh tumbang , namun boleh memaksa ekonomi negara yang kecil untuk mengadakan perjanjian perdagangan yang berat sebelah atas nama "free trade" (perdagangan bebas).

MAPIM sangat kecewa degan kerajaan Malaysia bila dengan jelas ia telah meneruskan penyertaan dalam TPPA walaupun cukup banyak hujah yang konkrit disuarakan oleh pelbagai Ngo dan parti politik serta ahli ekonomi, mengenai kesan buruk TPPA kepada kedaulatan negara. Kemerdekaan negara digadai dengan begitu mudah bila kesepakatan TPPA dimeterai dibumi kuasa imperialis dunia itu sendiri iaitu di Atlanta, AS.

Bantahan bukan sahaja disuarakan di Malaysia sahaja malah dari rakyat, Ngo, ahli politik dan pakar ekonomi dari pelbagai negara di New Zeland, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Australia dan Chile. Apakah suara mereka ini mahu diendahkan oleh kerajaan negara-negara tersebut?

Kami menganggap pemimpin negara telah menjual kemerdekaan dan kedaulatan negara tanpa disedari rakyat kerana perjanjian yang dirundingi dijalankan dalam keadaan penuh kerahsiaan. Jika benar TPPA untuk kepentingan rakyat, kenapa ia perlu dirundingi dengan berahsia? Kami hanya dapat merumus secara logik, jika ia dilakukan dengan terbuka, mereka menjangka pasti bantahan rakyat akan menjadi lebih kuat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI ), Datuk Sri Mustapa Mohammad mengeluarkan kenyataan bahawa perbahasan masih akan berjalan untuk mendapat kelulusan di Parlimen dan beliau juga menyebut bahawa maklumbalas dari pihak awam juga akan dikumpulkan sebelum teks perjanjian TPP itu ditandatangani. Ketua Setiausaha MITI pula menyatakan TPP akan berkuatkuasa penuh paling awal dua tahun lagi.

Namun ini bukan jaminan yang akan melegakan banyak pihak. Soal pokok ialah perjanjian itu telah dipersetujui sepenuhnya oleh kerajaan. Tidak mungkin persetujuan yang dimeterai itu boleh dipinda oleh Parlimen. Apa yang MITI perlu lakukan hanyalah untuk mendapat kelulusan Parlimen dan dengan itu ia segala dasar dan undang-undang akan diseleraskan (rectify) dengan perjanjian TPPA.

Sebanyak 29 bab dalam perjanjian itu telah dirundingkan seperincinya, setiap ayat, setiap klausa, setiap nokhta, setiap koma. Bab yang yang menyentuh soal perdagangan hanya 5, selebihnya ialah mengenai hal-hal yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.

Kami berpendapat perbahasan di Parlimen ataupun dengan masyarakat sivil dan parti politik hanya suatu formaliti. Persetujuan dasar sudah dimeterai dan kerajaan yang menggangotai TPPA tidak mungkin akan mengisytiharkan keluar dari perjanjian kerana tidak bersetuju dengan teks yang sudah dihadamkan melalui proses rundingan selama lebih 4 tahun bermula Mac 2010. Ia bermula dengan TPSEP (Trans Pacific Strategic Economic Partnership) pada 2006 yang hanya melibatkan 4 negara (Singapore, Brunei, Chile dan New Zealand) dan berubah menjadi TPPA apabila 8 lagi negara menyertainya termasuk AS.

Kami dengan tegas menyatakan TPPA memudaratkan rakyat dan negara ini. Ia suatu  kesilapan paling besar dalam sejarah mempertahankan kemerdekaan negara.

Ia adalah konspirasi bisnes dan politik golongan elit dan syarikat konglomert dunia, yang mengatasnamakan perdagangan bebas untuk kepentingan rakyat, tetapi sebenarnya untuk mengeksploitasi seluruh kehidupan rakyat untuk meraih keuntungan semaksima mungkin, tetapi mendapat perlindungan undang-undang dari perjanjian TPPA untuk melakukan eksploitasi tersebut.

Malaysia malangnya keluar dari mulut British kini masuk dalam mulut Amerika Syarikat dan sekutunya , kembali sebagai bumi terjajah. – HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace