Rusia berdepan kekuatan Nato jika serang Turki

HARAKAHDAILY | .

Penglibatan Rusia dalam empat setengah tahun perang saudara di Syria kelihatan kian meningkat.

Hal tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selepas serangan kedua yang dilakukan oleh pesawat milik Rusia di wilayah udara Turki semalam.

Tidak hanya itu, Nato juga mengeluarkan kenyataan bahawa tentera Rusia juga telah menjejakkan kaki di Syria, lapor laman Eramuslim.com.

"Pesawat pejuang Rusia telah melanggar dengan memasuki ruang udara Turki," ujar Setiausaha Agung Nato, Jens Stoltenberg, seperti yang dilaporkan oleh CNN.

Dalam laman web rasmi Nato, Stolenberg pun menyebut hal tersebut sebagai perkara yang tidak boleh diterima.

Dalam keterangannya kepada wartawan, Stoltenberg memastikan bahawa telah terjadi dua pencerobohan di wilayah udara Turki.

"Kami telah melihat dua pencerobohan di wilayah angkasa Turki. Berdasarkan laporan perisikan yang kami terima, pencerobohan itu tidak dilihat sebagai sesuatu yang tidak disengajakan," katanya.

Pencerobohan pertama memasuki ruang udara Turki oleh Rusia dilaporkan terjadi pertama kali pada Sabtu, 3 Oktober lalu sedang yang kedua berlaku keesokan harinya, 4 Oktober.

Angkatan udara Turki sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan tentang mengesan sebuah pesawat pejuang jenis MiG-26 dengan asal negara yang tak dikenali, mengganggu lapan pesawat F-16 milik Turki, di sempadan Turki-Syria.

Mereka menyebut, jet pejuang MiG-26 itu dikesan di bawah radar selama empat minit 30 saat.

Turki sendiri telah menjadi ahli Nato sejak 1952.

Dalam peraturan perikatan negara-negara tersebut, dinyatakan bahawa jika berlaku serangan kepada salah satu daripada 28 negara anggota Nato, maka serangan tersebut dapat diertikan sebagai serangan kepada semua negara.

Dalam keterangannya, Stoltenberg juga memastikan, pasukan Rusia telah menduduki Syria. Pasukan darat itu disebutnya akan melapor kepada pangkalan udara Rusia.

Dia pun mendedahkan keraguannya bahawa serangan udara yang dilakukan Rusia ke Syria tidak murni dilakukan untuk menggempur kumpulan pengganas ISIS.

"Saya juga bimbang bahawa Rusia tidak mensasarkan ISIS, tetapi menyerang kumpulan pembangkang Syria dan orang awam," ujarnya.

Share on Myspace