Kerajaan digesa wujudkan pusat Cerebral Palsy

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat menggesa pihak kerajaan secara tuntas melaksanakan usaha yang lebih komprehensif bagi manfaat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami Cerebral Palsy (CP).

Pengerusinya Dr Rosni Adam berkata, antara usaha yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat termasuklah menyediakan pusat mengupayakan OKU pelbagai kategori, bertindak sebagai pusat rujukan khas untuk OKU termasuklah kepada ibu bapa anak-anak CP.

Selain itu, katanya usaha-usaha intervensi awal harus diperkasa agar sistem sokongan yang sesuai dapat diwujudkan kepada ibu bapa dan keluarga anak-anak CP.

"Kami juga menggesa agar pihak kerajaan memberi pertimbangan secukupnya agar elaun kepada penjaga anak-anak OKU dinaikkan sesuai dengan keperluan kos hidup hari ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sempena hari Cerebral Parsy sedunia hari ini, beliau meminta seluruh masyarakat termasuklah pimpinan negara menyedari cabaran semasa hari ini untuk menyantuni keperluan hampir 17 juta warga CP di seluruh dunia.

Hal ini kerana katanya, warga CP atau juga disebut OKU terlantar masih berhadapan dengan cabaran hidup termasuklah dari aspek penjagaan, pendidikan dan kelangsungan hidup.

Di pihak PAS katanya, usaha berterusan ke arah mengupayakan OKU pelbagai kategori akan terus dilaksanakan melalui Sekretariat Prihatin OKU yang dipengerusikan oleh seorang OKU, Mohammad Faizal Che Yusof.
 
"Islam yang meletakkan kemuliaan pada setiap insan itu harus dijelmakan. Setiap individu ciptaan Allah punyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri meskipun ditakdirkan cacat atau kurang upaya," katanya. – HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace