Pil kuda: Mahkamah tolak rayuan bekas calon PKR

HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkaitan isu pil kuda.

Mahkamah mengarahkan perayu membayar kos RM10,000 kepada Tuan Guru Abdul Hadi.

Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Tuan Guru.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Rayuan juga telah menolak rayuan berhubung isu tersebut.

Pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu juga menolak saman Mohd Shamsul dengan memerintahkan bekas calon PKR itu membayar kos RM10,000 kepada Tuan Guru Abdul Hadi.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak saman fitnah RM2 juta difailkan Mohd Shamsul terhadap Presiden PAS itu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Ahli Parlimen Marang itu.

Pada 23 Februari tahun lalu, Tuan Guru Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Disember 2013.

Empat hari selepas itu, beliau memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu.

Mohd Shamsul menyaman Tuan Guru Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - HARAKAHDAILY 7/10/2015

Share on Myspace