Najib gertak saman tidak lagi ditakuti?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tanpa menunggu tempoh tujuh hari sebagaimana yang diberikan oleh peguam Najib Razak, bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik sebaliknya hanya memerlukan kurang daripada tiga hari saja untuk menjawab gertakan mahu mengheretnya ke mahkamah.

Demikian tulisan Shahbudin Husin dalam blognya shahbudindotcom.blogspot.my, hari ini.

Dr Ling memutuskan tidak akan meminta maaf kepada Najib berhubung kenyataannya yang bersetuju dengan Tun Mahathir agar Perdana Menteri meletakkan jawatannya dengan alasan "telah mengambil wang orang lain untuk dimasukkan ke akaun peribadinya."

Berikutan kenyataan Dr Ling itu, Najib telah menghantar surat tuntutan peguam yang mahukannya meminta maaf, menarik balik dan membayar sejumlah ganti rugi dalam tempoh tujuh hari atau jika tidak, proses tindakan undang-undang akan dimulakan kerana menganggap dakwaan bekas Menteri Pengangkutan itu sesuatu yang berunsur fitnah.

"Saya kata kepada Perdana Menteri, jika anda memilih untuk menyaman saya, saya akan pertahankan diri saya. Dengan penuh rendah diri, saya terima cabaran anda.

"Saya ingin menyaksikan Perdana Menteri berdiri di kandang saksi kerana tidak syak lagi beliau akan melakukannya bagi membuktikan reputasinya telah tercalar.

"Saya mahu mengulangi sekali lagi bahawa saya mempertahankan apa yang saya katakan. Saya tidak akan memohon maaf," tegas Dr Ling dalam kenyataannya.

Bagi Shahbudin, dengan jawapan Dr. Ling itu, beliau seperti  menuruti jejak langkah The Wall Street Journal (WSJ) yang tetap mempertahankan laporannya mengenai wang RM2,600 juta meskipun telah diminta oleh peguam Najib untuk menjelaskan sama ada laporannya itu bermaksud Perdana Menteri telah menyalahgunakan wang 1MDB.

Bagaimanapun, atas ketegasan WSJ mempertahankan laporannya dan sedia ke mahkamah beserta sekali lagi pada minggu lalu memberi jawapan kepada surat kedua sama ada akan menggunakan Akta Speech atau sebaliknya, sehingga sekarang belum juga Najib mengambil tindakan undang-undang sebagaimana yang dijanjikannya.

Secara jantannya, kata beliau jawapan Dr Ling yang bertegas tidak mahu memohon maaf dan sedia berdepan di mahkamah adalah cabaran terbuka kepada Najib agar segera mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Najib pula, ujarnya sebagai pahlawan Bugis yang kononnya gagah berani serta sanggup mengharungi cabaran sehingga bumi berkeping dua, tentulah tidak ada pilihan lain selain bertindak jantan juga dengan terus saja menyaman Dr Ling tanpa berlengah-lengah lagi.

"Selepas ini, kita hanya perlu menunggu apakah Najib sebenarnya berani menyaman Dr Ling dan berdiri di kandang saksi bagi mempertahankan reputasinya yang didakwa sudah tercalar itu?

"Atau mungkinkah Najib akan melengah-lengahkan lagi masa seperti dalam kes WSJ dengan menghantar satu lagi surat tuntutan kepada Dr Ling bagi memohon penjelasan lanjut pula tentang maksud sebenar kenyataan yang dikeluarkannya itu?" tanya Shahbudin.

Harapnya, kata beliau biarlah hanya WSJ saja yang digertak tapi belum juga disaman dan gertakan saman kepada Dr Ling ini biarlah menjadi kenyataan akhirnya.

Baginya, yang nyata, dengan tindakan Dr Ling enggan memohon maaf dan sedia berdepan di mahkamah, gertakan saman Najib tidak lagi ditakuti oleh sesiapa juga pun. - HARAKAHDAILY 8/10/2015

Share on Myspace