Penerokaan haram ganggu projek Ladang Rakyat

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Usaha kerajaan negeri bagi membantu penduduk miskin melalui projek Ladang Rakyat berdepan masalah apabila ladangnya berdepan penerokaan haram.

Selain itu gangguan Orang Asal yang tinggal berdekatan menyebabkan syarikat yang mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Ladang Rakyat tidak dapat meneruskan kerja-kerja menanam kelapa sawit.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata disebabkan masalah tersebut projek pembangunan ladang menjadi perlahan.

Malah katanya ada ladang belum dapat ditanam oleh syarikat kerana gangguan masyarakat Orang Asal yang tinggal tidak jauh dari ladang.

“Faktor kedua peneroka haram. Sudah beberapa kali perbincangan diadakan dengan pihak terbabit namun mereka masih lagi berdegil.

“Pencerobohan haram masih lagi berlaku. Ini menjejaskan kerja-kerja pembangunan ladang. Selain itu syarikat juga berdepan binatang liar yang memusnahkan tanaman,” katanya di sini.

Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat yang beroperasi sejak 2006 sehingga sekarang berjaya mengagihkan dividen hampir RM90 juta kepada lebih 4,853 peserta.

Setiap peserta menerima dividen sebanyak RM200 sebulan. Dividen itu dibayar tiga bulan sekali.

Baru-baru ini Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Mohd Khairil Hazmie Yusof memberitahu sebanyak RM11 hingga RM12 juta setahun diagih kepada peserta dalam bentuk dividen.

Bagaimanapun Mohd Amar berkata biar pun berdepan masalah tersebut namun Perbadanan Ladang Rakyat masih mampu memainkan peranan membantu penduduk-penduduk miskin. – HARAKAHDAILY 8/10/2015

Share on Myspace