Penjualan TRT-ETGO: Lain ditanya, lain dijawab

HARAKAHDAILY | .

SAYA mengucapkan terima kasih kepada pihak FGV kerana telah memberi penjelasan segera mengenai apa yang telah saya timbulkan berkait isu syarikat penghancur dan penapisan bijirin, Twin Rivers Technologies TRT-ETGO dengan harga yang mencurigakan.

Penjelasan yang diberikan sepertimana disiarkan oleh akbar Kosmo bertarikh 8 Oktober 2015, tidak langsung menyentuh isu pokok yang ditimbulkan, sebaliknya pihak FGV mendakwa laporan diputarbelikan oleh akbar pembangkang bagi memberi gambaran salah kepada pembaca.

Kami sebelum ini dengan jelas meminta pihak kerajaan memberi penjelasan penjualan aset FGV ini di Kanada, kenapa harga yang jual lebih rendah seperti dilaporkan oleh Bloomberg, menurut satu laporan yang keluarkan Julai lalu, urusniaga ini bakal memberi pulangan RM1 bilion kepada FGV. Menurut laporan ini lagi, bidaan daripada 5 syarikat pembida antarabangsa bernilai AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta).

Merujuk kepada laporan beberapa akhbar tempatan bulan Ogos lalu dan juga Majalah Aspirasi Glokal terbitan Felda memaklumkan TRT-ETGO telah dijual kepada Viterre Inc. dengan nilai RM608.2 juta dan disahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Mohd Emir Mavani.

Kami merasakan persoalan yang kami timbulkan cukup mudah untuk difahami dan tiada unsur putar belit seperti yang didakwa.

Kami juga bersedia jika diundang oleh pihak FGV untuk mendengar penjelasan secara tertutup bagi mengelakkan perkara ini dipolemikkan.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
08 Oktober 2015 - HARAKAHDAILY 8/10/2015

Share on Myspace