Tindakan pasca munaqasyah dan Pihak

NASRUDIN HASSAN | .

Hari Sabtu 3 Oktober 2015 menyaksikan 2 Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Perhimpunan Hingga Kemenangan (Pihak) berlangsung serentak. Masing-masing di Miri, Sarawak dan Rantau Panjang, Kelantan.

Sebaik sahaja berakhir Munaqasyah siri ke-14 dan Pihak siri ke-16 yang berlangsung di Rantau Panjang, Kelantan maka dengan rasminya Jelajah Pusingan Pertama Lajnah Penerangan PAS Pusat telah melabuh tirai.

Namun ia bukan menjadi peluang rehat bagi Lajnah Penerangan PAS Pusat dan seluruh anggota Task Forcenya, demikian juga bagi seluruh jentera penerangan PAS di semua peringkat. Malah berakhirnya Jelajah Pusingan Pertama Lajnah Penerangan PAS Pusat itu merupakan detik mula gerak kerja yang lebih besar, berat dan penting.

Setelah kertas kerja dibentang, maklumat dipapar, ilmu dibekal, semangat dibugar dan saf kembali dirapatkan maka usah berlengah lagi. Kini masa untuk menggerakkan Amal Islami sebagaimana yang dibentangkan kepada semua lapisan dan peringkat pimpinan melalui siri munaqasyah ucapan dasar Presiden.

Susunlah aktiviti mengikut hala tuju yang telah digariskan. Rencana strategi berasaskan dasar dan prinsip yang telah ditetapkan. Bangkit (fastaqim) semua, sederap langkah dan sehayun tangan menuju gerbang kemenangan dengan penuh optimis.

Jangan bazirkan masa dengan tindakan, kenyataan dan penulisan yang tidak membina jamaah. Hindari fitnah dan jauhkan diri dari mengungkap perkataan keji yang merosakkan akhlak dan menurunkan nilai kemuliaan peribadi dan perjuangan Islam yang diwakili.

Penerangan PAS egeri dan kawasan tidak perlu lagi mengambil masa untuk menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di peringkat kawasan atau cawangan, sebaliknya Lajnah Penerangan PAS negeri dan kawasan dikehendaki terus menyusun gerak kerja bagi menterjemahkan segala arahan dan peraturan serta agenda tindakan politik mendepani PRU14

Realiti yang kita saksikan melalui jelajah Lajnah Penerangan PAS Pusat ke seluruh negara membuktikan wujudnya gelombang kebangkitan dan peningkatan prestasi PAS di semua peringkat. Maka menjadi kewajipan kepada semua khasnya jentera penerangan PAS negeri dan kawasan ialah mengekalkan momentum kebangkitan ini dengan pelbagai aktiviti Amal Islami dan gerak kerja pengukuhan jamaah serta penyebaran risalah dakwah dan penerangan kepada masyarakat.

Banyakkan penganjuran majlis dialog dan penjelasan isu secara terbuka kepada rakyat serta memberi pencerahan ke atas pelbagai kekeliruan yang timbul mengenai perjuangan Islam yang didukung oleh PAS termasuklah memahami isu semasa yang berlaku.

Lajnah Penerangan PAS disemua peringkat seperti negeri, kawasan dan dewan - dewan mesti menjadi Lajnah yang paling aktif dan paling sibuk dengan gerakkerja. Jangan lengah apatah lagi malas untuk menjalankan tugas ini justeru ia adalah satu kewajipan yang mesti kita tunaikan. - HARAKAHDAILY 8/10/2015

Share on Myspace