DAP terus angkuh perlekeh Kerajaan Kelantan

AZIS AZIFF | .

PASIR MAS: Adakah DAP merasakan parti itu selamat di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang sehingga mendakwa tiada sebab rakyat Kelantan memberi kepercayaan kepada PAS?

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kenyataan pemimpin DAP terbabit memperlihat betapa sombong dan angkuhnya mereka.

Katanya, pemimpin parti itu langsung tidak menghormati orang lain sehingga berterusan mencampuri urusan parti lain.

“Sepatutnya DAP menjaga kerajaan Pulau Pinang sebaik mungkin daripada sibuk urusan kerajaan Kelantan,” katanya sebagai mengulas kenyataan ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Pemimpin DAP ketika berucap pada majlis Makan Malam anjuran Parti Amanah Rakyat semalam mendakwa tiada sebab rakyat Kelantan menaruh kepercayaan kepada PAS bagi menerajui kerajaan negeri itu lagi.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata DAP patut melihat kemungkinan sokongan orang Melayu terhadap parti itu di Pulau Pinang juga terjejas.

Beliau ditemui pemberita hari ini selepas melawat Pondok Gelang Mas yang terbakar kelmarin.

Pada lawatan itu beliau juga menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar pondok yang terbabit dengan kebakaran.

Hadir sama Adun Tendong, Rozi Muhammad, Ketua Jajahan Tanah Merah, Dr Che Hamad Che Muda dan Mudir pondok berkenaan Tuan Guru Awang Yusof. - HARAKAHDAILY 8/10/2015

Share on Myspace