TPPA: PAS adakan sidang meja bulat bersama NGO

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .

SESUATU perjanjian perdagangan yang bermula di 2001 antara New Zealand dan Singapura kini berkembang menjadi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang melibatkan 12 negara.

Amerika Syarikat memasuki rundingan TPP pada 2008 selepas perjanjian P4 tercapai antara Chile, Brunei, New Zealand dan Singapura pada 2006. Kemasukan Amerika menjadi tarikan kepada negara lain – Australia, Vietnam dan Peru menyertai meja rundingan pada tahun berikutnya.

Malaysia menyertai rundingan TPP pada 2010. Tiada siapa yang faham mengapa Malaysia mahu terlibat, lebih-lebih lagi TPP ini dirunding secara rahsia dari awal. Kanada dan Mexico menyertai rundingan TPP pada 2012 disusuli Jepun 2013.

Rundingan TPP sepatutnya berakhir di 2013  namun kerana terlalu banyak kepala yang cuba mengawal rundingan dan menjaga kepentingan masing-masing seperti Kanada dan China yang cuba melindungi produk tenusunya, golongan farmaseutikal di Amerika dan sebagainya ia hanya berjaya dimeterai pada 5 Oktober 2015. Namun, rakyat Malaysia tidak pasti apakah kepentingan negara dilindungi.

Tanpa sebarang maklumat, dan selepas 13 tahun rundingan, 12 negara yang mengawal 40% ekonomi global akhirnya mengumumkan mereka sudah mencapai kata setuju terhadap TPP.

Asalnya ia cuma satu perjanjian perdagangan, namun kini keluasan kuasa TPP amat menggerunkan kerana ia meliputi hak pekerja, alam sekitar, perlindungan harta intelek, kastam, e-perdagangan dan juga pelaburan.

Apakah TPP ini sudah muktamad? Tidak lagi. Ia masih jauh. Ia mungkin setahun lagi ataupun lebih lama, sebelum perjanjian itu ditandatangani dan ditutup dan dihantar ke semua negara ahli. Pergolakan politik di mana-mana negara akan menyebabkan ini tergendala. Bahkan di Amerika sendiri, Presidennya Barack Obama juga menghadapi tentangan Hillary Clinton yang menentang TPP selain pihak Republican.

Kini TPP akan dibawa ke parlimen masing-masing untuk didebatkan sebelum sesebuah kerajaan menandatanganinya. Walaupun ahli politik tidak boleh mengubah kandungan TPP, namun mereka boleh mengundi untuk mengubah mana-mana undang-undang tempatan, termasuk tarif dan hakmilik intelek bagi memenuhi kehendak TPP.

Perkara yang paling ingin diketahui kini apakah faedah dan keburukan TPP? Prestasi kabinet juga mengoyahkan rakyat apakah pimpinan hari ini boleh berunding dengan baik untuk mendapat kelebihan bagi Malaysia di TPP. Bukan itu sahaja, skandal yang menyelebungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tatkala TPP ini mencapai persetujuan juga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap rundingan TPP dalam melindungi kepentingan negara dan rakyatnya.

Dengan duti eksport yang bakal dimansuhkan di dalam urusan perdagangan antara 12 negara ini, apakah impaknya pada perniagaan skala kecil dan sederhana negara tatkala rakyat boleh menikmati barangan import dengan murah dan juga caj perkhidmatan telefon antarabangsa yang lebih murah. Apakah yang akan berlaku pada industri tempatan - seperti Proton dan Perodua jika kereta Jepun dapat memasuki pasaran negara secara bebas?

Oleh kerana tiada siapa yang tahu isi kandungan perjanjian tersebut, maka Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed perlu mengemukakan kesemua draf  perjanjian yang telah dimuktamadkan minggu lalu. Rakyat terpaksa menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat mengetahui kandungan TPPA yang akan dipaparkan ke awam. Namun, PAS percaya banyak lagi kandungan yang akan terus dirahsiakan.

PAS bersama NGO akan mengadakan satu persidangan Meja Bulat bagi membincangkan isu TPP. Seperti Kongres Rakyat, Meja Bulat ini akan memberi peluang kepada semua pihak mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara.

Peluang wajar diberi bukan hanya kepada ahli Parlimen sahaja,  sebaliknya semua pihak yang ingin memberikan pandangan. Negara kita mempunyai ramai pakar ekonomi dan strategik yang mampu menyumbangkan idea bernas bagi memuktamadkan pendirian negara sama ada menerima atau menarik diri dari perjanjian tersebut. - HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace