Tak boleh dabik dada konon kita orang hebat, istiqamah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Kita tidak boleh mendabik dada kononnya kita orang hebat dan istiqamah di dalam perjuangan sedangkan kita belum diuji, sama ada ujian kesenangan atau kesusahan," kata Ustaz Idris Ahmad.

Menurut Naib Presiden PAS itu, istiqamah adalah anugerah Allah yang diberikan kepada hamba-Nya yang terpilih.

Katanya lagi, Allah boleh memberi dan menarik dengan sekelip mata sahaja.

"Berdoalah kepada Allah semoga kita istiqamah dengan PAS selagi ia tidak bertentangan dengan syarak," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Dalam pada itu, katanya siang malam pemimpin dan ahli PAS membuat kerja parti dengan kadar kemampuan masing-masing semuanya untuk memburu kemenangan yang selari dengan kehendak syarak.

Justeru, ujarnya jika ada dalam kalangan mana-mana ahli atau pemimpin yang berkata, perjuangan PAS bukan untuk mencapai kemenangan ataupun ada yang mengatakan, PAS mesti menang, tetapi soal prinsip bukan menjadi keutamaan, maka ini pemikiran yang songsang dan terkeluar daripada manhaj perjuangan PAS sebagai parti Islam. - HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace