Selamat Hari Sukan Negara 2015 - DACS Selangor

HARAKAHDAILY | .

Pelaksanaan Hari Sukan Malaysia 2015 pada 10 Oktober 2015 esok dengan tema "Fit Malaysia" harus disambut baik oleh rakyat dengan semangat kesukanan dan muhibbah yang tinggi.

DACS Selangor berharap dengan adanya program sebegini, ia akan merancakkan lagi aktiviti bersukan, beriadah dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat, baik bagi mereka yang berusia muda mahu pun tua.

DACS Selangor berpendapat perpaduan dalam kalangan rakyat harus terus dipupuk tanpa mengira perbezaan keturunan, bangsa dan had umur menerusi sukan dan riadah.

Bagi mewujudkan sebuah negara yang mengeluarkan hasil produktiviti yang tinggi, amalan hidup sihat mesti diamalkan oleh setiap rakyat.

Keadaan tubuh badan yang sihat dan gaya hidup penuh tatakelola akan memandu pencapaian ekonomi negara menerusi amalan kerja yang produktif.

Teladan baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) dalam bidang sukan dan riadah harus dijadikan contoh. Baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) pernah dicabar bergusti dengan seorang lelaki yahudi dan akhirnya baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) menang serta lelaki yahudi itu menganut agama Islam kemudiannya.

Malah baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) menggalakkan umat Islam untuk belajar memanah, berenang dan menunggang kuda.

Natijahnya, sukan bukan sahaja menjadikan tubuh badan yang sihat, ia melatih umat Islam untuk mempunyai kemahiran mental yang tinggi dan fokus dalam pekerjaan yang dilakukan selain menjauhi perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah seperti melepak dan minum arak.

Baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) pernah bersabda mafhumnya "mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah". Sementara itu, dalam mafhum sabda baginda Rasulullah (sallallahualaihiwasalam) yang lain, baginda menyatakan Allah mencintai mukmin yang melakukan sesuatu pekerjaan secara "itqan" iaitu ketekunan yang membuahkan hasil kerja yang produktif.

Banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan oleh DACS Selangor sempena Hari Sukan Negara tahun ini seperti Ampang Fun Ride, Kejohanan Bola Sepak Belia, Kejohanan Futsal, Mendaki Bukit Broga, Pertandingan Boling 2015 dan lain-lain di seluruh negeri Selangor.

DACS Selangor berharap rakyat dari segenap lapisan akan dapat menyertai pelbagai program yang diadakan dan menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi.

Hal ini kerana perpaduan dalam kalangan rakyat mutakhir ini dilihat semakin rapuh lantaran tindakan, singgungan dan kecaman berunsur politik yang dimuntahkan oleh barisan ahli politik yang tidak matang dan rasional.

DACS Selangor juga sebelum ini telah mengadakan banyak program yang mengajak rakyat khususnya belia mendekati aktiviti sukan dan kegiatan luar.

Kewujudan Alternative Riding Club (ARC), Alternative Cycling Club (ACC), perlumbaan motorsikal di Litar Lumba Rakyat, Alternative Photography Club (APC), DACS Motorsport Club (DMC) dan pelbagai lagi aktivti luar anjuran DACS Selangor harus dimanfaatkan oleh rakyat.

Akhir kalam, dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, ia dapat menghindarkan diri kita daripada penyakit, merapatkan jalinan ukhwah antara ahli keluarga dan menghasilkan produktiviti kerja yang baik serta dapat melahirkan budaya kerja yang baik dan cemerlang.

Sekaligus ia akan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat malah diisi pula dengan pertukaran pendapat dan ilmu antara rakyat. Sekian, terima kasih.

Majulah sukan untuk negara.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) Selangor
Dewan Pemuda PAS Selangor. - HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace