Perpecahan umat, jemaah mana yang betul?

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

APA yang berlaku hari ini adalah sebuah perpecahan umat. Masing-masing bawa halatuju masing-masing dan ada yang bertembung antara satu sama lain.

Sikap yang diambil umat Islam pula berbeza-beza. Ada yang berpendapat kita perlu rai semua pihak. Ada yang kata tidak boleh pilih mana-mana jemaah kerana semua umat Islam.

Apakah sikap kita yang sewajarnya?

Ketika Nabi bersabda: "Umatku akan berpecah kepada 73 puak. Semua masuk neraka kecuali 1 puak", para sahabat yang mendengar sabda ini menunjukkan sikap mereka terhadap perpecahan umat. Mereka percaya bahawa perpecahan memang suatu yang tidak dapat dielakkan akhir zaman ini. Walaupun kita berusaha untuk menyatukan, apa yang Nabi sabdakan tetap akan terjadi.

Oleh itu, sahabat tidak bertanya "Bagaimana nak satukan semua 73 puak ini?" Ataupun bertanya "Macam mana kita nak rai semua ini?"

Sebaliknya sahabat bertanya. "Siapakah puak yang satu itu?". Sahabat seolah-olah memaksudkan sikap mereka apabila bertemu zaman tersebut, adalah memilih puak yang benar.

Maka inilah sepatutnya sikap umat Islam berdepan perpecahan. Antara ramai yang mendakwa masing-masing di pihak yang benar, kitalah yang perlu menilai manakah yang tepat. Kita bukan mendakwa yang lain salah, tapi demi masa depan kita di akhirat kelak, kita perlu selamatkan diri dengan menyertai kumpulan yang paling dekat dengan jawapan Nabi kepada sahabat iaitu "Pihak yang mengikut caraku dan cara para sahabatku."

Untuk mengetahui pihak mana zaman sekarang yang ikut cara Nabi pula, maka terlebih dahulu kita perlu mendalami agama. Belajar secara menyeluruh tentang Islam, dapatkan tasawwur yang jelas tentang agama Islam dan hayati intipati agama ini. Kemudian barulah lihat manakah yang paling mengikut Islam yang kita belajar.

Memang tiada jemaah yang sempurna, tetapi sekurang-kurangnya carilah yang paling dekat dengan kesempurnaan. Jangan pula ambil sikap berkecuali daripada jemaah Islam sebab semua tidak sempurna. Tidak pernah ada ajaran Islam yang anjurkan sikap sebegini

Namun masih ada pihak yang menyatakan sikap, kita kena rai semua. Tidak perlu pilih mana-mana jemaah sebab semuanya sama, umat Islam belaka. Ada yang kias kata, perpecahan hari ini ibarat perbezaan mazhab fiqh sahaja.

Sebenarnya ini sikap orang yang malas. Malas belajar dan kaji Islam. Malas menyelidik dan mencari kebenaran. Malas menurut arahan mana-mana ketua kerana anggap dirinya lebih daripada orang lain. Lalu sikap mudah ialah anggap semua betul. Inilah sikap yang amat disukai musuh Islam kerana mereka akan mudah menyelinap ke dalam umat Islam.

Kalau cara kita bekecuali itu boleh selamat daripada api neraka, maka itu mujur. Tapi kalau tidak selamat, nak kata apa? Sebaiknya pilihlah jalan paling ihtiyat. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace