Fastaqim: Kelantan kubu dan pangkalan politik PAS

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | .

KELANTAN semenjak dahulu lagi terkenal kerana kerancakan dunia ilmu sehingga digelar sebagai 'Serambi Mekah,' yakni pelajar yang ingin belajar agama datang ke Kelantan dari seluruh asia Tenggara. Pelajar-pelajar ini akan mendalami ilmu di Kelantan terlebih dahulu sebelum mereka belajar dengan lebih mendalam di Mekah.

Kelantan dilatari dengan kepesatan institusi agama seperti madrasah, sekolah pondok, masjid, surau serta golongan lebai yang ramai berbanding dengan negeri lain di Malaysia. Ribuan ulama menyerikan bumi kelantan dengan asuhan dan pencerahan walaupun negeri ini juga terkenal dengan sisi 'wilayah gelapnya' yang tersendiri seperti pergaduhan dan nilai hitam akibat pengaruh negara jirannya.

Menurut William Roff (1974), Kelantan merupakan negeri yang berbudaya dengan kerancakan sekolah-sekolah pondok yang ditandai juga dengan ramai ulama Islam pada abad ke-19. Negeri ini semenjak dahulu digerakkan oleh ekonomi pertanian, penternakan secara kecil-kecilan. Keseniannya seperti wayang kulit, makyong, menorah, main puteri dan sebagainya.

Kelantan cukup terkenal dengan sekolah-sekolah pondok di mana kewujudan sekolah pondok ini juga membentuk jati diri penduduk kelantan yang lebih cenderung kepada agama. Perkembangan pondok ini telah berkembang luas pada abad ke-19 (Khoo Kay Kim; 1991).

Antara pondok terawal yang dapat dikesan dan wujud hingga sekarang ialah Pondok Lubuk Tapah, yang diasaskan pada tahun 1932, Pondok Haji Yaakob Berangan yang diasaskan 1948, Pondok Pasir Tumbuh yang diasaskan pada tahun 1954, Pondok Sungai Durian yang diasaskan pada tahun 1957, Pondok al Tunjuniah yang diasaskan pada tahun 1974 dan Pondok Banggol Naem, Gelang Mas yang diasaskan pada tahun 1987.

Bumi Kelantan juga turut dimeriahkan dunia pendidikannya oleh ulama-ulama, sama ada menggerakkan pengajian pondok mahupun mengerakkan pengajian Islam melalui masjid, surau dan sebagainya. Antara mereka yang telah berjasa ini ialah Tok Pulau Chondong (1792-1873), Tok Wan Ali Kutan (1837-1913), Tok Kenali (1868-1933), Mufti Haji Wan Muhammad (1868-1935), Kemuning (1885-1934), Tok Selehong (1886-1935), Mufti Haji Wan Musa (1874-1939), Tok Kangkong (1886-1943), Haji Omar Sungai Keladi (1867-1946), Tok Bachok (1860-1953), Tok Pulau Ubi (1887-1957) Tok Guru Haji Wan Adam 1909-1957) dan ramai lagi.

Berlatar belakang landskap yang sebegini rupa maka tidak pelik jika Kelantan telah menjadi pengkalan politik kepada PAS semenjak tahun 1950-an sehinggalah sekarang. Fenomena yang sama jika kita melihat pertumbuhan dan perkembangan gerakan Islam di luar negara yang subur di kawasan  kelas menengah dan juga kawasan yang rancak dengan pusat pengajian Islam.

PAS mempunyai sejarahnya yang tersendiri di Kelantan, malah negeri itu merupakan pengkalan politik PAS yang cukup setia semenjak dekad 50-an lagi. Negeri agrarian yang tersohor dengan warisan ulama dan institusi pendidikan Islam ini pernah menyaksikan ulama pejuang, Tuan Guru Haji Hasan Munas yang berkuah darah menentang penjajah British pada tahun 1915.

Pilihan raya umum yang kedua negara ini telah diadakan pada tahun 1959. PAS yang dipimpin oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu. Seorang sarjana, Clive Kessler berpandangan, PAS telah berjaya di Kelantan dengan gabungan kepimpinan ulama dan nasionalis radikal yang sebelumnya menjunjung slogan 'Melayu Raya'. Tarikan keagamaan PAS telah menarik minat masyarakat tani di negari itu yang masih kuat terikat dengan nilai-nilai agama dan Melayu.

Pilihan raya umum kali kedua ini juga menyaksikan pertambahan yang ramai undi orang bukan Melayu berbanding dengan pilihan raya umum pada tahun 1955. Pertambahan pengundi baru seramai   2,144,829 dan dianggarkan pengundi Melayu seramai 1,217,000 orang, pengundi Cina seramai 764,000, pengundi India seramai 159,000 dan selebihnya kaum lain. (K.Ratnam:1965)

Kemenangan PAS di Kelantan yang dianggap seperti negeri 'jantung hati' orang Melayu itu antara lain akibat tidak berpuas hati dengan dasar-dasar Kerajaan Perikatan yang terlalu longgar terhadap kaum bukan Melayu terutama tentang kerakyatan bukan Melayu (Farish Noor: 2006).

PAS yang dipimpin oleh intelegensia Melayu seperti Dr Burhanuddin, Prof Dr Zulkifli Muhammad, Datuk Asri Muda telah menjadi jurucakap yang lantang dalam persaingan PAS dan UMNO dalam tahun 50-an. Kelantan juga dengan keunikan masyarakat yang dilatari dengan sekolah-sekolah pondok, madrasah, pengajian-pengajian masjid telah menjadi pengkalan politik kepada PAS semenjak dekad 50-an lagi. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, dan AJK Panitia FASTAQIM 60K)

Share on Myspace