Antara PAS di Kelantan dengan DAP di Pulau Pinang

DR AZMAN IBRAHIM | .

KERAJAAN PAS Kelantan usia 25 tahun, Kerajaan DAP Pulau Pinang belum sampai 2 penggal. Pulau Pinang mungkin punya wang, tetapi Kelantan kaya dengan pengalaman memerintah. Antara senjata wang dengan modal pengalaman, dua-dua ada kelebihan. Tapi pengalaman tak dapat dibeli dengan wang.

Mengekalkan sebuah kerajaan yang dianaktirikan dari segenap aspek selama 6 penggal berturut-turut adalah satu rekod dalam sejarah perjuangan gerakan Islam di dunia.

DAP ditentukan mentadbir sebuah negeri kaya. Maka mereka ada wang dan kuasa. Wang dan kuasa bukanlah lesen untuk memperlekehkan kerajaan PAS Kelantan yang mungkin dilihat tak berduit dan kurang bergaya. Walau DAP mempunyai juak-juak di Kelantan yang setiap hari bekerja untuk memperlekehkan parti dan kerajaan sendiri. Hakikatnya juak-juak mereka semakin dilupakan orang.

Usia 8 tahun berbanding 25 tahun terlalu jauh beza. Kalau di sekolah, yang berumur 25 tahun adalah guru sementara yang 8 tahun adalah murid. Belajarlah dari guru walau kita rasa kita lebih hebat.

Saya menulis teguran ini lantaran rasa simpati kepada segelintir pimpinan DAP seperti Tony Pua dan Lim Guan Eng yang berterusan menghina Kelantan.

Kenapa saya bersimpati?

Simpati atas kedangkalan mereka menyedari hakikat bahawa PAS Kelantan dah bertahun-tahun mentadbir negeri tanpa DAP sebelum Pakatan Rakyat wujud lagi tetapi hakikatnya DAP menang 2 penggal atas nama Pakatan Rakyat yang turut diperkuatkan PAS di Pulau Pinang. Ukuran sebenar untuk mereka adalah PRU14.

Simpati seterusnya adalah kerana mereka tak memahami senario dan sepak terajang orang Melayu Kelantan berpolitik. Kerana tak memahami inilah maka mereka sangka parti oren dokongan mereka akan mendapat tempat di hati rakyat Kelantan dengan mudah lantas PAS mampu digugat lalu dilemahkan dengan siri-siri perlekehan dan penghinaan.

Bukan setakat pimpinan DAP tak memahami gaya orang Melayu Kelantan berpolitik malah mereka juga tak memahami kehendak orang Cina Kelantan sendiri. Mereka tak tahu bahawa majoriti Cina Kelantan adalah penyokong PAS bukannya DAP malah jauh sekali MCA.

Umum menerima bahawa Kelantan adalah Universiti Politik terbuka. Sesiapa pun dipersilakan untuk mengaji ilmu berpolitik dari masyarakat Kelantan yang sangat unik.

Banyak langkah Kerajaan Kelantan akhirnya menjadi ikutan Kerajaan Pusat walau mereka cuba mempertahankan keegoan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan realiti. Saya tak perlu senaraikan semuanya.

Tak salah juga untuk Pulau Pinang belajar sesuatu dari Kelantan. Ular menyusur akar tak akan hilang bisanya. Dalam masa yang sama, saya tak pernah mendengar bahawa Kerajaan Kelantan ada mengemis ihsan dari Pulau Pinang untuk menumpang kekayaan mereka.

Silalah hina Kelantan kalau Kelantan ada menyusahkan Pulau Pinang, ada pinjam duit tak bayar atau ada itu dan ini.

Akhir sekali saya nak tanya, apa pimpinan DAP nak sebenarnya? - HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace