Teguran Raja-Raja Melayu bukti 1MDB parah

IZWAN ABDUL HALIM | .

GOMBAK: Teguran Majlis Raja-raja Melayu supaya skandal 1MDB segera diselesaikan menunjukkan bahawa isu tersebut terlalu parah, demikian menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Terangnya, tidak pernah berlaku sebelum ini Majlis Raja-raja Melayu memberi teguran kepada perkara seumpama itu.

Malah katanya, sebelum ini, isu tersebut pernah mendapat teguran Gabenor Bank Negara, Tan Sri Datuk Dr Zeti Akhtar Aziz agar diselesaikan dengan telus.

Beliau menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah di Pusat Tarbiyah Dun Hulu Kelang, Taman Permata, semalam.

“Ibu kepada segala jahat ini ialah 1MDB. Oleh sebab itu kita tengok tidak pernah Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan. Tapi apabila mereka telah bersuara berkenaan dengan isu 1MDB, maknanya isu ini parah.

“Zeti selaku Gabenor tegur, suruh selesai elok-elok. Patutnya, Najib ini kena dengar Zeti Akhtar tu orang cerdik. Zeti Akhtar tu bukan Bendahari Umno Cawangan Taman Permata. Ini Gabenor tau. Patut kamu kena dengar cakap orang ni. Kalau Zeti Akhtar pun kamu tak dengar, kamu nak dengar siapa? Rosmah? Payah.

“Zeti Akhtar beri pandangan, dia kata kena telus dengan baik. Meniaga buat untung rugi ini biasa. Tapi orang nak telus. Ini jawab pelik-pelik. Orang tanya dia, mana duit?  Dia kata (dalam bentuk) unit. Orang tanya unit apa? Dia jawab unit-unit la. Tak ke pening?” ujarnya membidas Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Sehingga kini menurutnya, Najib gagal memberikan jawapan yang meyakinkan sedangkan jumlah tersebut adalah RM2.6 billion dan masuk ke akaun peribadi Najib. – HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace