Bekas Adun maut ditembak, Adun PAS ucap takziah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Ariffin Deraman (atas) mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Adun kawasan itu, Alias Abdullah yang meninggal dunia akibat ditembak petang ini.

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa ekoran tragedi tersebut.

"Diharap keluarga bersabar atas ujian daripada-Nya, semoga arwah ditempatkan bersama para solihin," ujarnya.

Pada Pilihan raya Umum ke-13 lalu, beliau yang juga Pengarah Pilihan raya PAS Terengganu memperolehi 10,844 undi menewaskan Alias dengan majoriti 645 undi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Alias, 51, (kanan) maut dipercayai ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong, Marang hari ini selepas pulang daripada solat Jumaat.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Abd Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata polis masih lagi menyiasat motif kejadian tersebut.

"Polis masih menyiasat daripada beberapa aspek dan saya telah mengarahkan anggota saya untuk mendapatkan laporan siasatan lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berada di bahagian dapur rumahnya didatangi seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai pipi kiri mangsa.

Susulan kejadian itu mangsa dibawa ke klinik kesihatan Bukit Payung oleh jiran mangsa Mohd Zuraini Mamat, untuk diberikan rawatan kecemasan sekitar 2.15 petang, namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Allahyarham yang menjadi Adun Alor Limbat selama dua penggal sebelum ini meninggalkan seorang isteri dan empat anak. - HARAKAHDAILY 9/10/2015

Share on Myspace