Tembak bekas Adun: Kelibat dua orang naik motosikal

BERNAMA | .

MARANG: Seorang penduduk terdengar bunyi letupan seperti mercun sebelum melihat kelibat dua orang menaiki sebuah motosikal meninggalkan kawasan rumah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah, 51.

Abdul Wahab Muhammad, 35, berkata beliau ketika itu bersama empat lagi rakannya berada di sebuah bangsal tidak jauh dari tempat kejadian.

"Bila saya keluar dari bangsal, saya lihat seseorang bertubuh besar dan memakai topi keledar berlari dalam keadaan tergopoh gapah ke arah rakannya yang sedang menanti di atas motosikal.

"Mereka naik motosikal tanpa nombor plat. Saya terus kejar kedua-duanya dengan motosikal berserta beberapa orang lagi. Bila sampai dekat Kampung Batu 12 (kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian), mereka pun hilang," katanya.

Beliau berkata sebelum itu beliau ternampak kedua-duanya sedang menghala ke rumah Alias.

Alias dipercayai ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Alor Limbat Bukit Payong di sini selepas pulang daripada solat Jumaat.

Beliau kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Payung oleh jirannya, namun disahkan meninggal dunia.

Fazil Yusof, 32, yang merupakan kenalan Alias berkata beliau berjumpa Allahyarham pada tengah hari di sebuah kedai kopi berhampiran selepas mangsa dikatakan pergi melawat saudaranya yang akan membuat majlis kenduri.

Sementara itu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika ditemui di Klinik Kesihatan Bukit Payung mahu pihak polis menjalankan siasatan segera.

"Kita minta kes ini disiasat secara terperinci dan individu yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan.

"Ini (kematian Alias) merupakan satu kehilangan besar dalam dunia politik Terengganu kerana Allahyarham merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah menjadi wakil rakyat. Kehilangan ini amat dirasai," katanya.

Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata Allahyarham merupakan seorang yang cukup dihormati dan disegani walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Alias menjadi Adun Alor Limbat selama dua penggal mulai 2004 sebelum kalah kepada calon PAS pada pilihan raya umum ke-13.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Umno Cawangan Alor Limbat.

Allahyarham pernah bertugas sebagai Ketua Unit Pendakwaan Negeri Terengganu (Timbalan Pendakwa Raya/Peguam Kanan Persekutuan) dari 1 Mei 1997 hingga 18 Nov 1999).

Allahyarham meninggalkan isteri Noreha Mohamad, 45, dan empat orang anak.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tamah Perkuburan Islam Kampung Alur Limbat selepas solat Isyak.

Sementara itu pihak polis telah melancarkan Ops Tutup bagi mengesan dan menjejaki suspek.

Ketua Polis Daerah Marang, Suhaimi Mohd Ali yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah di mana mayat Allahyarham ditempatkan berkata motif kejadian juga sedang dikenal pasti. - Bernama

Share on Myspace