Menteri dedah pencemaran bauksit - Andansura

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

KUANTAN: Pendedahan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri mengesahkan wujud pencemaran bauksit yang mengundang bahaya kepada rakyat di daerah ini.

Serentak dengan itu, Adun Beserah Andansura Rabu mendesak Kerajaan Negeri Pahang memberhentikan serta-merta semua aktiviti berkaitan perlombongan bauksit yang dilihat semakin tidak terkawal. 

“Jadi, kami minta dan merayu agar kerajaan hentikan segera sehingga ada satu kajian kesan terhadap alam sekitar dilakukan demi kebaikan semua pihak,” katanya pada sidang media di Pejabat Adun Semambu di sini, semalam. 

Sidang media itu diadakan khusus berhubung pendedahan oleh Wan Junaidi di sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris kelmarin mengenai wujudnya pencemaran alam sekitar disebabkan perlombongan bauksit. 

“Sebelum ini kita sudah usahakan pelbagai cara termasuk bantahan, himpunan, dialog dengan pihak berkuasa, tindakan menyekat dan sebagainya dan kini pendedahan menteri sendiri menguatkan lagi desakan agar kerajaan segera hentikan perlombongan tersebut.  

“Kita lebih pentingkan soal kesihatan rakyat. Namun kerajaan seolah-olah tidak mencari kaedah sesuai bagi menyelesaikan perkara ini meskipun pelbagai usaha dilakukan kami sebelum ini.

“Sampai bila kerajaan mahu membiarkan perkara ini berlarutan sebegini sedangkan pelbagai bantahan telah disuarakan oleh rakyat berhubung kesengsaraan mereka. Kerajaan seharusnya lebih bertanggungjawab,” katanya. 

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaacob perlu memberi kenyataan segera mengenai perkara ini demi mengelak kesan buruk kepada rakyat di daerah ini terutamanya di kawasan perlombongan. 

“Saya cabar kerajaan supaya mendahulukan rakyat sebagaimana slogan yang dibawakan sebelum ini dan kerajaan perlu berani merealisasikan slogan yang diwujudkan itu,” katanya. 

Andansura memberitahu, Adnan juga sebelum ini pernah memberi mengatakan bahawa mereka telah ada jalan penyelesaian bagi pengangkutan bauksit, malangnya sehingga kini tiada lagi kelihatan kaedah yang baru diguna pakai oleh syarikat pengangkutan terlibat. 

“Apa yang saya lihat sama seperti dahulu dan ia langsung tidak berubah. 

“Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku hari ini dan saya lihat kerajaan tidak mampu menangani dan menyelesaikan perkara tersebut. Kalau sudah tidak mampu rasanya lebih elok berhentikan sahaja semua aktiviti bauksit,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, pencemaran dari tapak perlombongan, sepanjang jalan hingga ke pelabuhan telah menjadi semakin buruk dan beliau telah menerima banyak aduan daripada rakyat mengenai kekesalan mereka terhadap pengawalan dan pemantauan pihak berwajib. 

“Saya harap perkara ini turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri kerana aktiviti ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan, alam sekitar malah kemalangan membabitkan lori bauksit turut terjadi. 

“Oleh itu, kita mahu kerajaan ada keberanian dan iltizam menyelesaikan masalah ini serta-merta demi kesejahteraan rakyat,” katanya.                                                                                                             

Andansura memberitahu, sekiranya kerajaan gagal menyelesaikan masalah tersebut, beliau bersama badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) akan mengadakan bantahan secara besar-besaran di peringkat nasional. 

“Sebelum bantahan ini diadakan, kita memberi ruang kepada kerajaan negeri terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya. 

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut Pengerusi Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) Ali Akbar Othman dan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack. – HARAKAHDAILY 10/10/2015

Share on Myspace