Fastaqim: Tahniah atas kempen H60K

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Terima kasih kepada anda yang turut berkempen untuk kehadiran puluhan ribu para penyokong PAS ke Himpunan Fastaqim (H60K) di Kota Bharu pada hari Sabtu, 17 Oktober nanti.

Nyata, kempen dan iklan di alam maya jauh mendahului berbanding selainnya. Lebih menarik, ia berjaya mewarnai pentas alam maya dengan pelbagai pandangan mengenai perhimpunan besar yang bakal mencatat sejarah ini, sama ada dalam bentuk sokongan atau kritikan negatif ke atasnya.

Negeri Terengganu dan Kedah mendahului dengan masing-masing menjanjikan kehadiran lebih 10,000 peserta. Begitu juga dari negeri-negeri lain, malah sambutan hangat diterima daripada negeri Johor Darul Takzim yang menjanji kehadiran peserta dari seluruh kawasan.

Terima kasih kepada para penyokong PAS dari Sabah dan Sarawak yang akan turut mengambil bahagian walaupun terpaksa menempuh perjalanan paling jauh.

Paling nyata, Himpunan Fastaqim telah menjadi bualan manis di bibir anak muda di seluruh negara. Ia menjanjikan satu keyakinan terhadap sokongan tidak berbelah bagi golongan muda terhadap PAS, parti Islam terbesar di Malaysia yang telah begitu berakar umbi di seluruh pelosok tanah air.

Kehadiran puluhan ribu peserta dari seluruh negara akan bercantum nanti dengan puluhan ribu 'golongan Ansar' rakyat Kelantan yang sedia menanti di Kota Bharu nanti.

Ia pastinya menghangatkan persaudaraan Islam yang begitu mengukuhkan iman dan jihad. Ia hadiah terbaik buat sambutan serentak Jubli Intan 25 tahun pemerintahan PAS di Kelantan yang telah banyak mengubah bentuk dan senario politik di negara Malaysia.

Ini meyakinkan pihak penganjur bahawa kehadiran akan melepasi sasaran 60,000 peserta.

Semoga niat, azam, usaha, jihad dan perjalanan kalian nanti diberkati dan diredhai oleh Allah azza wajalla.

Perhimpunan orang-orang beriman adalah disukai Allah. Ia perhimpunan mengingati Allah, mensyukuri nikmat Allah, mengagungkan syariat Allah dan mengukuhkan janji perjuangan di jalan Allah.

Ingat, anda adalah satu daripada jutaan batu bata yang sedang mengukuhkan perjuangan Islam. Jangan ketinggalan. Mara dan beristiqamahlah di jalan Allah.

Kempen dan iklan adalah dakwah. Setiap kita adalah pendakwah. Berbahagialah hidup sebagai pendakwah di jalan Allah. Justeru teruskan berkempen untuk Himpunan Fastaqim (H60K). - HARAKAHDAILY 10/10/2015

Share on Myspace