Selepas lima bulan janji PRK Rompin belum ditunai

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Nazri (kanan) beraksi dalam pertunjukan tomoi.

ROMPIN: Setelah lima bulan berlalu Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, belum dilihat tanda-tanda kerajaan BN mengotakan janji-janji yang ditaburkan.

Ketua Penerangan PAS Pahang Ustaz Nazri Ahmad berkata, antara janji semasa kempen dalam PRK berkenaan ialah menaik taraf Lebuh raya Tun Razak yang menghubungkan Kuantan ke Segamat melalui daerah Rompin.

"Kini jalan utama yang digunakan setiap hari oleh penduduk Felda Gugusan Keratong dan sekitar kekal bahaya sehingga sering berlaku kemalangan maut," katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin berkata demikian semasa program Cakna Rakyat di padang awam Keratong 4 di sini, semalam.

Nazri berkata, selain daripada itu janji Perdana Menteri semasa kempen untuk menurunkan harga rumah generasi kedua daripada RM120,000 ke RM70,000 masih belum tertunai sehingga rumah yang sudah terbina di Keratong 4 masih belum diduduki.

Program Cakna Rakyat diadakan sehari suntuk dengan pengisian sukaneka Pasti dan pertandingan memasak serta mengayam ketupat melibatkan muslimat setempat.

Pada sebelah petang diadakan sukan  rakyat seperti pertandingan silat dan tomoi, acara boling padang, memandu motosikal perlahan serta baling guli.

Pada sebelah malamnya pula diadakan kuliah maghrib dan ceramah umum. - HARAKAHDAILY 11/10/2015

Share on Myspace