Keluarga cam rangka ditemui adalah Juvina

BERNAMA | .

GUA MUSANG: Anggota keluarga Juvina David, 7, mengecam bahawa rangka yang ditemui di Sungai Perias, Pos Tohoi pada Sabtu adalah milik kanak-kanak itu.

Bapanya David Kuasam, 32, berkata isterinya Shela Omar, 26, mengecam rangka berkenaan berdasarkan rantai leher manik dan getah ikat rambut pada pergelangan tangan rangka berkenaan.

"Selepas penemuan rangka pada sebelah pagi, isteri saya dipanggil ke Pusat Operasi SAR di SK Tohoi untuk membuat pengecaman dan dia cakap kemungkinan besar rangka yang ditemui semalam itu adalah anak kami berdasarkan rantai leher dan gelang getah itu.

"Isteri saya masih mengecam kedua-dua barangan berkenaan, bagaimanapun dia tak dapat kenal pasti pakaian yang dijumpai berdekatan rangka itu kerana telah berubah warnanya," katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang untuk menjalani ujian DNA, Ahad.

Rangka tersebut ditemui kira-kira 10 meter dari lokasi dua mangsa dijumpai selamat bersama satu mayat pada Jumaat.

David bagaimanapun berkata mereka akan menunggu keputusan ujian DNA yang dijalankan untuk pengesahan anaknya.

Sementara itu Rosli Alik, 31, bapa kepada Linda, 8, berkata keluarganya tidak mahu membuat sebarang andaian tentang nasib anaknya yang masih hilang dan akan menunggu sehingga keputusan DNA dikeluarkan.

"Kita tak tahu rangka itu milik kanak-kanak mana. Kami hanya akan berpuas hati selepas keputusan DNA dikeluarkan," katanya.

Juvina dan Linda adalah antara tujuh murid Orang Asli dari SK Tohoi yang melarikan diri dari asrama sekolah mereka pada 23 Ogos lepas. - Bernama

Share on Myspace