1MDB: PM boleh janji lepas jawatan Menteri Kewangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selepas pemecatan mengejutkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah diserang blog-blog misteri.

"Apakah keberanian Bank Negara Malaysia untuk bertindak membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) terhadap pelaburan di luar negeri bernilai US$1.83 bilion (RM7.52 bilion) sejurus Pejabat Peguam Negara mendapati pegawai-pegawai 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak membuat sebarang kenyataan palsu akan menghidupkan kembali serangan terhadap Tan Sri Zeti?" tanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden itu berkata, tanda-tanda serangan terhadap Tan Sri Zeti sudah kelihatan seperti yang disiarkan laman pro-Umno MyKMU.net terutamanya tajuk sebuah artikel berbunyi “Perilaku Gabenor Bank Negara Berbahaya Kepada Ekonomi Negara”.

Namun, katanya serangan terhadap Tan Sri Zeti tidak setajam blog-blog misteri sebelum ini.

Ini, ujar beliau barang kali hasil daripada teguran Majlis Raja-Raja terhadap 1MDB yang menuntut agar masalah 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

"PAS tidak menolak bahawa kemungkinan Tan Sri Zeti sudah diserang habis-habisan sekiranya tiada saranan Majlis Raja-Raja yang menggesa isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, selain memerhati gerak-geri serangan yang bakal dihadapi Tan Sri Zeti, kesunyian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap tindakan Bank Negara Malaysia dan saranan Majlis Raja-Raja terus mencetuskan tanda tanya dan memperkuatkan persepsi terhadap sikap tidak bertanggungjawab PM terhadap 1MDB.

Sebagai penghormatan, ujar beliau sepatutnya PM boleh membalas kepada Majlis Raja-Raja bahawa beliau sudah berjanji depan Umno dan rakyat pada 14 Jun 2015 bahawa masalah 1MDB akan selesai dalam 6 bulan.

"Dan jika dikira dari hari beliau berjanji, masalah 1MDB akan selesai dalam dua bulan lagi.

"PM juga boleh berjanji beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bank Negara Malaysia dan memberi kuasa sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara melakukan dakwaan mengikut saranan agensi siasatan yang terlibat dalam menyiasat 1MDB," ujarnya lagi.

Tuan Ibrahim menambah, sekiranya masalah 1MDB masih juga tidak selesai dalam masa dua bulan akan datang, PM boleh berjanji untuk melepaskan jawatan Menteri Kewangan atau Penasihat 1MDB umpamanya.

Itu, kata beliau sikap bertanggungjawab yang sepatutnya dilakukan PM dan bukan dengan terus bersunyi. - HARAKAHDAILY 12/10/2015

Share on Myspace