TPPA: PAS ingatkan kerajaan tidak khianati rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS telah membuat kenyataan lebih awal dengan menyatakan kebimbangan kemungkinan Kerajaan Malaysia telah mengadakan pra perjanjian dengan negara-negara anggota TPPA sebelum substantif perjanjian tersebut dikemukakan kepada rakyat pada bulan hadapan.

Kenyataan akhbar PAS yang bertajuk “Isu TPPA: Adakah Mungkin Wujud Pra Perjanjian Bulan Ini?” bertarikh 27 Julai (11 Syawal) lalu menegaskan bahawa proses pendebatan di Parlimen berhubung TPPA tidak patut dijadikan rubber stamp semata-mata sedangkan praperjanjian telah disepakati lebih awal.

PAS merujuk kepada laporan portal akhbar Utusan Malaysia, ruangan rencana bertarikh 11 Oktober 2015 yang bertajuk, “Timbang Buruk Baik TPPA”, berdasarkan mukaddimah transkrip temubual tersebut, portal tersebut telah melaporkan bahawa Malaysia tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum tandatangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Ini bermakna kuasa tandatangan hanya tertakluk kepada kuasa eksekutif iaitu Perdana Menteri sahaja," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.

Maka, katanya kerajaan perlu memberikan jaminan adakah kerajaan bersedia untuk menolak dan keluar daripada keanggotaan TPPA sekiranya majoriti rakyat menolak perjanjian ini.

Malangnya, ujar beliau sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang dokumen rasmi dan laporan cost benefit analysis dikeluarkan.

"PAS memberi amaran supaya kerajaan tidak mengkhianati rakyat.

"PAS bersedia untuk bersama memimpin kebangkitan rakyat besar-besaran bersama pelbagai pihak yang berkepentingan jika kerajaan terus menandatangani perjanjian kontroversi ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh. - HARAKAHDAILY 12/10/2015

Share on Myspace