1MDB: Kenyataan Shafie Apdal selepas titah Raja-Raja

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Saya menjunjung tinggi titah oleh Majlis Raja-Raja untuk siasatan ke atas 1MDB dipercepatkan dengan telus dan jujur dengan harapan keyakinan rakyat dapat dikembalikan," ujar Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau dalam tulisan menerusi facebooknya, semalam turut bersetuju dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai 1MDB.

Berikut tulisan penuh beliau.

Saya bersetuju dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai 1MDB. Semasa berada di dalam kabinet (sebelum rombakan), kami telah diberi taklimat mengenai struktur modal awal syarikat 1MDB yang disuntik oleh Kementerian Kewangan selakun pemegang saham, kedudukan aset serta hutang syarikat.

2. Bagaimanapun, kebimbangan rakyat yang lebih serius mengenai butir-butir pengambilalihan tanah di Pulau Pinang dan juga di Pelabuhan Klang, yang dipersoalkan nilainya serta status kebolehgunaannya, isu status dana berbilion ringgit SRC International, yang dahulunya anak syarikat 1MDB, yang dipinjamkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan pemindahan berbilion ringgit ke dalam akaun pihak ketiga masih tidak dijawab sehingga hari ini dan perlu diberi perhatian utama.

3. Saya menjunjung tinggi titah oleh Majlis Raja-Raja untuk siasatan ke atas 1MDB dipercepatkan dengan telus dan jujur dengan harapan keyakinan rakyat dapat dikembalikan. Saya juga menyokong pendirian Bank Negara Malaysia supaya kes pemindahan wang 1MDB ke luar negara disemak semula dan syor BNM diberi pertimbangan secara bebas oleh Jabatan Peguam Negara.

4. 1MDB sering menyatakan bahawa aset-aset yang dimiliki syarikat itu melebihi hutang, dan ini bukanlah satu kebimbangan. Kenyataan seperti ini merupakan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia kerana hutang-hutang berkenaan telah terkumpul kerana jaminan kerajaan dan kedudukan 1MDB selaku anak syarikat milik penuh kerajaan. Kegagalan 1MDB untuk membayar hutang berkenaan akan memaksa kerajaan untuk 'step in' dan menanggung hutang ini.

5. Walaupun rasionalisasi hutang 1MDB sedang berjalan, ia tidak harus menidakkan hakikat bahawa aktiviti perniagaan 1MDB telah gagal sehingga memaksa ia menjual aset kerajaan yang diperolehi dengan harga murah dan berlakunya pemindahan dana berbilion ringgit yang masih belum dijelaskan hingga hari ini. Ketiadaan ketelusan dan tadbir urus inilah yang menyebabkan berlakunya krisis keyakinan rakyat terhadap parti dan kerajaan pada masa kini. Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan dan memohon maaf kepada rakyat.

Share on Myspace