PAS Perak desak wakil rakyat lompat parti letak jawatan

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: PAS Perak mendesak wakil rakyat PAS yang melanggar aku janji sebagai calon wakil rakyat untuk meletakkan jawatan serta merta, demikian gesa Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Tegasnya, Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa mesti meletakkan jawatan berdasarkan lafaz janji semasa menjadi calon dahulu.

Menurutnya, mengikut lafaz janji tersebut, mereka mesti melepaskan kerusi diwakili apabila menyertai parti lain.

"Tindakan melanggar aku janji ini bukan satu perkara yang remeh, ini berkaitan hak dan janji.

"Sekarang ini, PAS Perak menuntut janji bagi pihak rakyat agar hak itu dikembalikan dan janji itu ditunaikan," ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Perak.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki; Setiausaha Perhubungan PAS Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hasan; Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Zuhdi Marzuki; Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Sidek Nor dan Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad. – HARAKAHDAILY 12/10/2015

Share on Myspace