Ujian Bertulis PT3 berjalan lancar

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Ujian Bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang bermula hari ini berjalan lancar melibatkan 465,674 calon menduduki peperiksaan itu di 2,667 pusat di seluruh negara.

Ujian itu bermula dengan subjek Bahasa Melayu dan Matematik hari ini, diikuti subjek Bahasa Inggeris dan Sains pada Selasa.

Pada Khamis, subjek terlibat ialah Kemahiran Hidup Bersepadu (Kemahiran Teknikal), Kemahiran Hidup Bersepadu (Ekonomi Rumah Tangga), Kemahiran Hidup Bersepadu (Pertanian) dan Kemahiran Hidup Bersepadu (Perdagangan dan Keusahawanan); Pendidikan Islam, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Punjabi, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.

Negeri Selangor mencatatkan calon teramai menduduki PT3 iaitu 82,160 calon yang mengambil peperiksaan itu di 329 pusat peperiksaan.

Di Kuala Lumpur. seramai 22,261 calon menduduki peperiksaan itu di 103 pusat peperiksaan dan di Putrajaya 1,514 calon mengambil peperiksaan itu di 12 pusat peperiksaan.

Di PAHANG, seramai 24,783 calon menduduki peperiksaan PT3 di 215 pusat peperiksaan 11 daerah di negeri itu.

Bagaimanapun, Ketua Sektor Penilaian Dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang Mohd Razali Mustafar berkata 10 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Razak, Pekan gagal menduduki peperiksaan itu hari ini kerana disyaki keracunan makanan.

Katanya, kesemua pelajar terbabit akan menduduki kertas peperiksaan hari ini pada tarikh lain.

Di TERENGGANU, seramai 21,794 calon menduduki peperiksaan PT3 di 151 pusat peperiksaan di seluruh negeri, termasuk 15 calon berkeperluan khas (CBK).

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Abu Bakar Sahari berkata seramai 14,460 calon menduduki peperiksaan PT3 melibatkan 83 pusat peperiksaan seluruh negeri.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 13,819 merupakan calon sekolah kerajaan manakala selebihnya calon sekolah swasta.

Di PERAK, seramai 40,751 calon menduduki peperiksaan itu di 269 pusat peperiksaan.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan negeri Adnan Rejab berkata ia melibatkan 40,262 calon sekolah kerajaan dan 489 calon sekolah swasta.

"Setakat ini, peperiksaan berjalan lancar dan tiada calon yang menduduki peperiksaan di hospital," katanya.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata 33,196 pelajar menduduki PT3 di 240 pusat peperiksaan di 10 jajahan. - Bernama

Share on Myspace