Tol naik: Semak perjanjian, jangan terus bebani rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesyorkan Kerajaan Persekutuan menyemak semula perjanjian konsesi lebuh raya bagi mengelakkan kenaikan kadar tol berterusan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata semakan perlu dibuat terhadap konsesi yang sudah memperoleh keuntungan hasil pembinaan lebuh raya bagi mengelakkan rakyat terus rugi membayar kadar kenaikan.

“Kita masih berharap perjanjian konsesi disemak semula untuk melihat sama ada wajar atau tidak ia dinaikkan terutama bagi lebuh raya yang sudah mendapat semula pulangan pelaburan.

“Ada lebuh raya yang sudah selesai, justeru semakan perlu dibuat dan kenaikan kadar tol tidak harus berlaku,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada syarikat konsesi jika kadar tol tidak dinaikkan seperti termaktub dalam perjanjian.

Katanya, terdapat beberapa lebuh raya yang tidak diselenggara secara besar-besaran seperti dilakukan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) dan lebih menjurus kepada pulangan untuk pemegang saham berdasarkan pemerhatian umum.

Menurutnya, walaupun kenaikan kadar tol sudah menjadi isu biasa kepada rakyat namun tetap memberikan kesan terhadap perbelanjaan harian mereka.

Share on Myspace