Kadar tol 9 lebuh raya naik mulai Khamis ini

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sembilan syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang hari ini mengumumkan kenaikan kadar tol antara 10 sen dan RM3 berkuat kuasa Khamis ini.

Kadar tol baharu itu melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART).

Turut mengumumkan kenaikan kadar tol ialah Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), setakat pukul 7 malam ini.

Bagaimanapun, PLUS Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan bahawa kadar tol di semua lapan lebuh raya kendaliannya akan kekal pada ketika ini.

Jurucakap ANIH Berhad berkata kadar tol baharu KLK di Plaza Tol Gombak adalah RM6 (kelas satu), RM12 (kelas dua), RM18 (kelas tiga), RM3 (kelas empat) manakala kelas lima kekal RM5.

"Bagi Plaza Tol Bentong pula, kelas satu RM3.50, kelas dua RM7, kelas tiga RM10.50, kelas empat RM1.80, dan kelas lima masih kekal RM3," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kelas satu adalah untuk kereta, kelas dua bagi lori kurang daripada satu tan, kelas tiga lori besar dan treler, kelas empat teksi dan kelas lima untuk bas.

Sementara itu bagi Lebuhraya MEX, Maju Expressway Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata kadar tol baharu bagi Plaza Tol Salak Selatan adalah RM2 (kelas satu), RM4 (kelas dua), RM6 (kelas tiga), RM1 (kelas empat) dan RM1.50 (kelas lima).

Kadar baharu bagi Plaza Tol Putrajaya ialah RM3.50 (kelas satu), RM7 (kelas dua), RM10.50 (kelas tiga), RM1.80 (kelas empat) dan RM2.50 (kelas lima).

Dalam pada itu, SILK Holdings Berhad berkata kadar tol baharu bagi Lebuhraya Kajang-Silk adalah RM1.80 (kelas satu), RM3.60 (kelas dua), RM5.40 (kelas tiga), 90 sen (kelas empat) dan RM1 (kelas lima).

Bagi DUKE, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd mengumumkan, kadar tol baharu bagi Plaza Tol Ayer Panas, Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Kampung Batu ialah RM2.50 bagi kelas satu, RM3.80 (kelas dua), RM5 (kelas tiga), RM1.30 (kelas empat) dan kekal RM1.30 bagi kelas lima.

Sementara itu Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd turut mengumumkan kadar tol baharu bagi Terowong Lebuhraya SMART ialah RM3.

Bagi LATAR pula, KL-Kuala Selangor Expressway Berhad mengumumkan kenaikan kadar tol baharu bagi lebuh raya itu melibatkan Plaza Tol Ijok, Plaza Tol Kuang Timur, Plaza Tol Kuang Barat dan Plaza Tol Templer iaitu RM2.50 bagi kelas pertama, RM5 (kelas dua), RM7 (kelas tiga), RM1.30 (kelas empat) manakala kelas lima kekal pada RM2.

Dalam pada itu, BESRAYA (M) Sdn Bhd turut mengumumkan penyelarasan struktur kadar tol di Plaza Tol Mines (Utara dan Selatan) iaitu RM2 bagi kelas pertama, RM4 (kelas dua), RM4 (kelas tiga), dan RM2 (kelas empat) manakala kelas lima kekal pada RM1.30.

Bagi NPE pula, New Pantai Expressway Sdn Bhd dalam kenyataan mengumumkan kadar tol baharu bagi Plaza Tol Pantai Dalam dan Plaza Tol PJS5 bagi kelas pertama ialah RM2.30, RM4.60 (kelas dua), RM6.90 (kelas tiga), RM1.20 (kelas empat) dan kelas lima kekal pada RM1.60.

Bagi Plaza Tol PJS2, kadar tol baharu bagi kelas pertama kekal pada RM1, manakala kelas dua (RM4.60), kelas tiga (RM6.90), kelas empat (RM1.20) dan kelas lima kekal pada RM1.60, menurut kenyataan itu.

Sementara itu sebuah lagi syarikat konsesi Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) Sdn Bhd turut mengumumkan penyelarasan struktur kadar tol di lebuh raya itu antara 10 sen hingga RM2.

Kadar baharu itu membabitkan sistem kutipan tol tertutup bagi pengguna yang menggunakan Plaza Tol Kajang Selatan, Plaza Tol Semenyih, Plaza Tol Pajam, Plaza Tol Mantin, Plaza Tol Sentul dan Plaza Tol Jelebu yang menggunakan sistem tol terbuka.

Tiada kenaikan kadar tol bagi lapan lebuh raya kendalian PLUS.

Lebuh raya kendalian PLUS ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang, menurut kenyataan PLUS.

Kali terakhir kadar tol dinaikkan adalah pada 1 Mac 2009 melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), BESRAYA dan NPE manakala tiada kenaikan oleh syarikat konsesi tol lain sejak 2008. - Bernama

Share on Myspace