1MDB: Najib hilang sokongan orang kanan, rakyat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sidang media Tun Dr Mahathir Mohamed bersama 5 tokoh Umno BN yang lain semalam adalah bukti nyata bahawa pendirian dan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu 1MDB tidak mendapat sokongan.

Bahkan, Najib juga mendapat tentangan daripada orang kanan Umno sendiri khususnya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan DatukSeri Shafie Apdal yang masih menyandang jawatan Timbalan dan Naib Presiden Umno turut serta majlis tersebut.

"Saya bersetuju bahawa tindakan dengan menggunakan SOSMA 2012 ke atas Matthias Chang dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah suatu bentuk manipulasi terhadap peruntukan undang-undang sedia ada," ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Malangnya, kata beliau amalan mempergunakan undang-undang untuk bertahan sebagai Kerajaan di negara ini sudah menjadi budaya Umno BN sejak sekian lama sehingga sukar untuk transformasi politik berlaku secara efektif dan komprehensif.

Justeru, beliau serta seluruh rakyat Malaysia menyokong penuh kenyataan bersama 6 tokoh Umno BN itu dan mendesak agar pertuduhan ke atas Khairuddin Abu Hassan serta peguamnya, Matthias Chang digugurkan.

"Saya juga amat mengalu-alukan keberanian dan ketegasan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk membongkar kebenaran di sebalik isu 1MDB ini bagi memulihkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa yang telah terjejas teruk akibat skandal yang turut dikaitkan Perdana Menteri sendiri," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace