Felda perlu selesai segera projek PGBF terbengkalai

NARAZA MUDA | .

SEKALI lagi pihak Hal Ehwal Felda PAS Pusat mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad kerana memberi respons segera terhadap desakan NGO Generasi yang banyak membangkitkan permasalahan perumahan generasi kedua dan ketiga Felda yang sangat mendesak.

Pengerusi Felda mengulangi janjinya untuk memastikan Felda menyiapkan 20,000 unit buah rumah untuk generasi kedua dan ketiga Felda menjelang 2018 dalam satu majlis di Tanjung Malim pada 6 Oktober 2015 lalu.

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dimulakan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM1.4 billion, dan sehingga kini 8,570 unit dalam proses pembinaan dan sebahagian kecil sudah siap dibina di seluruh negara.

Namun apa yang mendukacitakan warga generasi Felda, banyak projek ini menghadapi masalah sehingga menimbulkan kebimbangan dan kesangsian apakah peserta dan pemohon dapat menduduki rumah ini mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ada beberapa projek yang sudah siap tetapi tidak dapat dijual kerana perbagai masalah teknikal seperti status tanah dan kelayakan pemohon itu sendiri. Sebagai contoh PGBF di Felda Padang Piol, Jerantut sudah siap sepenuhnya tetapi masih tidak dapat diagihkan.

Apa yang mengejutkan pihak kami, Felda terpaksa membuat pinjaman baharu RM300 juta melalui bank perdagangan untuk selesaikan 7 projek PGBF yang dikategorikan 'sakit'.

Pihak kami telah mengenal pasti 7 projek PGBF sakit ini iaitu, Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg Awah dan Felda Chini 3, semuanya di Pahang.

Pahang di antara negeri yang paling banyak mendapat projek PGBF, sekitar 4,000 unit buah diperuntukkan dan telah dilaksanakan tetapi masih di tahap 50 peratus pelaksanaan dan ada yang terbengkalai di peringkat awal penyediaan tapak lagi.

Di Terengganu, pihak kami mengesan 5 projek perumahan PGBF dan sentuhan kasih. Malangnya tiada satupun projek ini siap sehingga Oktober 2015. Lebih malang ada projek ini hanya dilihat umpan pilihan raya sahaja.

Di Felda Bukit Bading 98 unit disebut akan dibina dan sudah siap pelancaran pecah tanah oleh Menteri Besar Terengganu pada 2012, apa yang menyedihkan hanya semak samun pengganti unit rumah.

Justeru itu, pihak kami mengharapkan Felda melaksanakan dan menyelesaikan dahulu semua projek PGBF ini sebelum memberi jaminan akan menyiapkan kesemua 20,000 unit menjelang 2018.

Hal Ehwal Felda PAS merasakan adalah tidak wajar satu keperluan warga generasi Felda ini dijadikan umpan dan bahan ugutan untuk kepentingan politik sempit.

Kami bersetuju dengan penyediaan peruntukan RM1.4 billion untuk 20,000 unit rumah tetapi kami tidak sekali-kali bersetuju sebarang penyelewengan berlaku.

Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa untuk memantau semua projek perumahan ini di kawasan Felda seluruh negara bagi memastikan setiap projek ini dilaksanakan dengan telus oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Penulis ialah Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS.

Share on Myspace