Himpunan Fastaqim perkukuhkan lagi PAS

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menjelaskan Himpunan Fastaqim pada 17 Oktober di Kota Bharu nanti adalah untuk memperkukuhkan lagi kekuatan PAS.

Ketua DPPM, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS berhadapan dengan krisis yang besar namun dengan himpunan ini ia dapat menyakinkan ahli dan seluruh rakyat.

"Tujuan himpunan ini adalah untuk memperkukuhkan kekuatan PAS, kita mahu rakyat tahu kekuatan PAS walaupun berdepan dengan krisis.

"Kepada ahli-ahli PAS kita mahu mereka mengetahui bahawa parti mereka tetap kuat dan kukuh," katanya pada program Bicara Harakah sempena Himpunan Fastaqim.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menjelaskan, angka H60K selain daripada sasaran 60 ribu ahli yang hadir itu merupakan ulang tahun PAS 60 tahun di Kelantan.

"Biasanya himpunan yang besar kita buat apabila hampir pilihan raya tetapi kali ini kita lakukan untuk kita berdepan dengan krisis, kita yakin melalui himpunan ini memulihkan kekeliruan semua pihak," katanya lagi.

Menurut beliau, Fastaqim ini juga satu ruang untuk ahli-ahli melihat kepimpinan yang baru dalam menerajui PAS dalam berdepan krisis serta pilihan raya akan datang.

Beliau yang turut menyatakan bahawa Himpunan Fastaqim tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan mana-mana himpunan sebelum ini sama ada Kuning atau Merah. – HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace