Giliran kita pertahan perjuangan Islam

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Ketibaan tahun baharu Islam 1437 hendaklah dijadikan agenda penting seluruh umat Islam bagi melebarkan dakwah Islamiah.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata umat Islam hendaklah lebih berusaha dan berstrategi bagi mencapai hasrat tersebut.

Katanya peristiwa hijrah dijadikan asas dalam penetapan tahun baharu memandangkan pengaruh Islam mulai melebar ke seluruh pelosok dunia.

“Namun hijrah menuntut kepada pengorbanan yang tinggi terhadap tuntutan agama Islam.

“Kejayaan hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda dapat kita lihat di mana mereka berjaya merubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral dan cara berfikir daripada jahiliyah kepada Islam,” katanya pada perutusan sempena Hijratul Rasul 1437.

Kerajaan Kelantan akan mengadakan sambutan Hijratul Rasul 1437 peringkat negeri di Masjid Mahmudi Bandar Bachok malam ini. Program berkenaan bermula solat Maghrib.

Ustaz Ahmad berkata, intipati daripada hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada perkara-perkara negatif kepada perkara-perkara positif yang selari dengan ajaran Islam.

“Umat Islam hendaklah sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyerah urusan kepada takdir tanpa ada usaha memperjuangkan kebenaran.

“Lihatlah bagaimana umat Islam terdahulu berjihad secara habis-habisan sehingga mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang paling mulia,” katanya.

Oleh itu beliau berkata sekarang giliran kita pula memberi sumbangan kepada perjuangan agama supaya ia terus dipandang mulia, digeruni dan dihormati. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace