Mana janji kerajaan BN mahu turun tol secara berperingkat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan mesti menghentikan serta-merta kenaikan kadar tol yang akan berkuatkuasa pada hari Khamis ini.

"Kenaikan sehingga 80 peratus sangat zalim, menindas rakyat dan tidak wajar sama sekali," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Katanya, kerajaan mesti menghentikan kenaikan tersebut sehingga konsesi yang telah dimeterai selama ini dikaji semula termasuk mengambil kira analisis kos faedah semasa.

"Konsesi ini tidak adil, sama ada kadar tol naik atau tidak, dana awam (rakyat) tetap terkorban," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Beliau berkata, semua konsesi mesti didedahkan butiran utamanya seperti tempoh konsesi, kadar kenaikan tahunan, pampasan yang telah diberikan, kos penyelenggaraan dan keuntungan syarikat konsesi.

Menurutnya lagi, maklumat tersebut sekurang-kurangnya boleh dinilai oleh rakyat.

Tambah beliau, rakyat telah sengsara dengan tekanan kos sara hidup harian mereka.

Tambahan pula, katanya jalan raya adalah hak bersama dan seharusnya menjadi agenda utama kerajaan.

"Di mana janji Barisan Nasional untuk menurunkan kadar tol secara berperingkat seperti mana yang dijanjikan sejak tahun 2013 yang lalu?" soal beliau. - HARAKAHDAILY 13/10/2013

Share on Myspace