Tol naik: Dengar alasan kerajaan, jangan percaya

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini boleh mendengar bermacam-macam alasan yang diberikan oleh kerajaan tetapi janganlah menaruh kepercayaan kononnya kenaikan kadar tol yang baru diumumkan untuk menyediakann lebih banyak kemudahan, demikian menurut Ketua Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Salleh.

Katanya, berlambak-lambak janji yang ditaburkan oleh kerajaan tidak kira masa hatta janji di dalam pilihan raya lepas masih lagi tidak tertunai.

"Termasuklah masa PRU lalu kerajaan BN berjanji tidak naikkan tol. Sekarang kita lihat sendiri. Rakyat memang didahulukan. Rakyat boleh dengar alasan tetapi percaya jangan," katanya ketika ditemui.

Kenaikan tol hari ini katanya, akan memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kerajaan BN sejak dahulu lagi memang pandai berjanji sekadar untuk menyedapkan halwa telinga rakyat.

Justeru katanya, rakyat perlu sedar dan jangan sekali-kali meletakkan kepercayaan kepada kerajaan BN sekali gus memberi peluang kepada pembangkang pada PRU-14 nanti.

"Cukup-cukuplah percaya apa yang diperkatakan BN. Bagilah kepada pembangkang untuk terajui negara pada PRU-14 nanti," jelas beliau.

Antara alasan kerajaan kononya kenaikan kadar tol di sembilan lebuh raya bermula 15 oktober ini bagi menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan seperti membina lebih banyak hospital dan sekolah di masa hadapan.

Kadar tol di 10 lebuh raya akan dinaikkan secara drastik berkuatkuasa Khamis ini kerana kerajaan memutuskan tidak lagi bagi membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi yang terbabit sebagai mana yang diperuntukkan dalam Perjanjian Konsesi. – HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace