Potong perbelanjaan JPM, pastikan rakyat dibela

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan patut memberikan fokus kebajikan terhadap 40 peratus golongan bawahan di negara ini ekoran kelembapan ekonomi dalam Bajet 2016.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil langkah drastik dengan memotong perbelanjaan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang semakin meningkat setiap tahun.

“Defisit sebenarnya kita boleh terima dalam kelembapan ekonomi ini sebab tak wajar kalau kita secara tiba-tiba potong program kebajikan dan insentif untuk rakyat.

“Apa yang kita harap gaji Menteri dan Perdana Menteri dan perbelanjaan menggila Jabatan Perdana Menteri dipotong, ketirisan dan pembaziran harus dihentikan dan dana yang dapat dijimatkan boleh dipindahkan kepada sektor kesihatan dan pendidikan,” katanya dipetik Selangor Kini.

Naib Presiden PKR itu turut menggesa Najib menyambut saranan Ketua Pembangkang sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara konsisten mahu reformasi ekonomi dan usaha memerangi rasuah dijalankan secara tuntas.

“Dalam masa kemelesetan ekonomi jangan mangsakan hak rakyat untuk akses kepada kesihatan dan pendidikan berkualiti kerana tak begitu bijak benarkan alasan krisis ekonomi maka kita pindahkan beban kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini JPM sering dikritik gara-gara berbelanja secara boros termasuk membiayai perjalanan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet persendirian yang dikhaskan untuk Perdana Menteri.

JPM menerima peruntukan RM7.1 bilion meningkat kepada RM14 bilion pada 2009, RM12.1 bilion bagi 2010 dan RM15.86 bilion pada 2011.

Perbelanjaan JPM terus meningkat apabila pada 2014 apabila menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM22.62 bilion. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace