Penjara padat: Sekarang tinggal 204 sahaja kosong

BERNAMA | .

KAJANG: Peningkatan penghuni warga asing menjadi penyumbang kepada kepadatan dalam penjara di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata 30 peratus dari 51,946 penghuni terdiri daripada warga asing, berbanding kadar maksimum penghuni penjara seluruh negara iaitu 52,150 orang.

"Sekarang hanya tinggal 204 kekosongan sahaja di seluruh negara. Jika tiada pendatang asing ini, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kapasiti dan kepadatan penghuni di penjara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Inspektor Penjara Siri 1/2015 di Maktab Penjara Malaysia di sini, hari ini.

Nur Jazlan berkata ia telah menjadi matlamat KDN dan Jabatan Penjara Malaysia bagi mengurangkan jumlah penghuni dalam penjara agar ia lebih rendah dari kapasiti yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Nur Jazlan berkata pihak penjara memberi layanan yang sama rata kepada semua penghuni, termasuk bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semua penghuni dapat layanan yang sama rata...jika ada tahanan yang meminta layanan istimewa dan yang lebih baik, itu tidak mungkin berlaku kerana ia tidak adil bagi penghuni yang lain.

"Datuk Seri Anwar diberi layanan yang baik oleh pegawai penjara di Sungai Buloh," katanya mengulas dakwaan mengenai layanan kurang baik yang diberikan oleh pegawai penjara kepada Anwar.

Pada majlis itu,seramai 146 pelatih terdiri daripada 134 lelaki dan 12 wanita berjaya menamatkan latihan mereka selama tujuh bulan, hari ini.

Dalam pada itu, Salam Firdaus Kamarudin diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan Piala Komisioner Jeneral Penjara, manakala Azizie Ismail (Keselamatan dan Koreksional), Lewis Pounggin (Pengurusan), dan Abdul Naim Zahari (Terbaik Kemahiran). - Bernama

Share on Myspace