Umno BN mungkir janji PRU13 - Nik Abduh

SUFI NAZ | .

KUALA LUMPUR: Rakyat negara ini harus bangun menentang kezaliman Umno-BN dalam isu kenaikan kadar tol bermula 15 Oktober ini.

Pengumuman kenaikan tol itu membabitkan beberapa lebuhraya utama di seluruh negara dan menyaksikan kenaikan harga lebih 17 hingga 80 peratus di antara 20 sen hingga RM1.

"Apa yang berlaku pada hari ini memberi isyarat kepada kita bahawa BN sudah ketandusan idea, segala janji mereka bahawa mereka akan selesaikan isu ekonomi ini tidak berlaku.

"Bila kadar tol naik hari ini bermakna tol akan terus naik sedangkan kerajaan sudah berjanji perkara sebaliknya di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz ketika ditemui di Harakah hari ini.

Kata beliau, langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan untuk mengekang kenaikan harga barang bagi menyelesaikan ekonomi rakyat ini hanya sekadar 'omong kosong' sedangkan isu pokok masih terus berlaku.

"Dengan izin Allah untuk isu-isu tol ini kita akan semarakkan lagi kempen dalam bermacam-macam cara, tidak hanya sekadar berhimpun sahaja. Ianya dilakukan bagi menimbulkan kesedaran.

"Sekarang ini saya yakin sudah ada kesedaran cuma rakyat kurang adalah soal keberanian. Oleh itu, kita berusaha untuk meyakinkan rakyat terutama sekali anak-anak muda, mesti berani. Ini kerana apabila anak muda berani, ibu bapa mereka juga akan menjadi berani bagi menentang kezaliman ini," tambah beliau lagi.

Sementara itu dalam kenyataan yang berasingan, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin mengakui peruntukan perbelanjaan wang pampasan sebanyak RM1.5 bilion yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi itu sangat besar jumlahnya.

Namun katanya itu bukanlah isu utama malah persoalannya sekarang, mengapa syarikat konsesi berterusan mengecapi keuntungan berganda sedangkan rakyat terus ditekan menderita?

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengecam tindakan kerajaan yang terus memangsakan rakyat dengan bahana kenaikan kadar tol berkuatkuasa Khamis ini. Kenaikan yang sangat keterlaluan ternyata satu kezaliman dan tidak berperikemanusiaan," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengambil langkah untuk mengurangkan kadar tol secara berperingkat-peringkat selari dengan tempoh masa konsesi.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional langsung tidak mengutamakan kepentingan rakyat sebaliknya membela syarikat operator tol," bidasnya. HARAKAHDAILY 13/10/2015.

Share on Myspace