Fraksi Mahathir VS Rejim Najib

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

TANGGAL 12 Oktober, terhimpunnya 'koloni' yang bernaung di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad, termasuk bekas musuhnya, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno, Dato' Seri Shafie Apdal, bekas Menteri Pegangkutan, Tan Sri Ong Tee Keat, Tan Sri Ling Liong Sik, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Sanusi Junid dan beberapa yang lain.

Semuanya membincangkan satu topik paling besar yang tidak kunjung selesainya, isu skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sejak dahulu menghantui negara. Seorang demi seorang gugur akibat menentang tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dalam isu 1MDB ini.

Selepas bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelutong, Dato' Khairudin Abu Hassan ditahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Khas (Langkah-langkah Khas) SOSMA 2012, peguam yang mengiringi beliau, Mathias Chang pula ditahan di bawah akta yang sama.

Isunya satu, kerana lantang melaporkan kesalahan berhubung isu 1MDB dan mengheret Najib untuk menjawab isu berkenaan secara tuntas. Perang kali ini lebih besar, jumlah yang berfraksi dengan Tun Mahathir lebih ramai.

Musuhnya suatu masa lalu iaitu Tengku Razaleigh sudah mula mendekatinya, duduk semeja berbicara mengenai masa depan negara selepas melihat Najib kian 'beku' melaksanakan amanah menjadi seorang Perdana Menteri. Dalam pada itu, Najib pula semakin cakna dengan strategi musuhnya, beliau turun padang bersama fraksinya membina semacam satu momentum kekuatan baharu bersama Timbalannya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Satu kementerian yang sangat penting dan penuh strategi jika mahu menghalang segala usaha pihak yang menyebelahi Dr Mahathir dalam pertembungan ini, ini kekuatan yang Najib ada dan perlu dikekalkan demi survival politiknya. Mahu tidak mahu, Najib harus terus menjadikan Zahid sebagai orang kepercayaannya, menjalankan apa sahaja pelan strategisnya demi survival politiknya, dan mempertahan kedudukan nombor satunya.

Zahid Hamidi sebelum ini adalah orang kanan Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semasa Anwar ditahan pada tahun 1998 akibat menyertai semacam satu gerakan bersama Anwar. Namun pasca penahanan, Zahid berpaling untuk bersama kem Mahathir menentang semula bekas sahabatnya itu.

Demikian juga sejarah bekas Menteri Kewangan paling senior, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang suatu masa lalu berseteru dengan Mahathir hingga bertindak menentang Presiden Umno itu sekitar hujung 80-an.

Ku Li memiliki kekuatan grass roots di Kelantan khasnya di Gua Musang selain mereka yang tidak suka akan Dr Mahathir sepanjang bekas PM itu menerajui kerajaan. Kini 'kontradiksi' itu dikendurkan untuk duduk bersama Mahathir membina satu momentum besar mendobrak politik Najib.

Percubaan berulang kali Mahathir yang dibantu tekanan dalaman oleh Muhyiddin sebelum ini tampak gagal hingga Muhyiddin terpelanting keluar dari Kabinet Najib.

Lantas selepas keluar dan penuh akur, Muhyiddin mendiamkan diri, tidak seperti Anwar semasa terpelanting dari Kabinet Mahathir tahun 1998, gegak gempita seluruh negara menyaksikan reformasi berkumandang, dan hasilnya beberapa negeri tumbang kepada ikatan Barisan Alternatif ketika itu. Seluruh undi Melayu nyata menyebelahi pembangkang pada masa itu, dan BN hanya selamat dengan undi bukan Islam yang mempertahankan kerajaannya ketika itu.

Kini percaturan perang antara bekas PM itu dengan Najib nampak 'melewati' masa, jika dizaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahathir mudah sahaja menumbangkan pemimpin yang digelar Mr Clean itu, kali ini percaturan Mahathir semacam masih tidak mengena.

Najib sendiri dikatakan memiliki thin tank yang menumpukan kepada bagaimana cara untuk mendepani serangan bekas PM itu hingga pelbagai usaha yang dilakukan bekas PM menemui jalan buntu. Apakah azimat lain harus diguna Mahathir untuk memastikan Najib meletak jawatan bagi menyelamatkan survival Umno menerajui kerajaan akan berjaya kali ini dengan segala bala tenteranya kini sudah mula dihimpunkan bersatu membina gelombang?

Usah dilupakan bahawa Najib sudah semestinya menyediakan senjata yang ampuh untuk menentang koloni Mahathir yang semakin ramai. Mahathir pastinya tidak boleh mengelak bahawa banyak juga kemungkaran yang dilakukan dizamannya dalam pengetahuan Najib. Tidak mustahil, jika Najib terpaksa nanti membebaskan Anwar yang sebelum ini seteru politiknya untuk bersamanya demi menentang seteru yang satu iaitu Tun Mahathir.

Inilah rewang politik Umno-BN, membedal, membelasah, menghentam antara satu sama lain kerana masing-masing ada masalah dan skandal yang terpaksa dilindungi demi survival politik. Rakyat pula dibiarkan semakin lama dalam kawah panas menghirup kesempitan hidup akibat dasar ekonomi 'jahiliyah' ciptaan BN.

Dengan kenaikan kadar Tol berkuatkuasa 15 Oktober, penurunan nilai Ringgit menjejaskan, selain skandal-skandal besar yang menghimpit, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan, rakyat dihadapkan pula dengan pertembungan politik antara dua fraksi yang masing-masing mahu menyelamatkan fraksi masing-masing, bukannya survival rakyat.

Sudah cukuplah rakyat ditipu rejim BN yang sejak dahulu tidak memperdulikan rakyat. Apa yang penting, rakyat harus memikirkan survival mereka pula demi kelangsungan generasi akan datang. Buang sahaja politik ala Machiavelli, politik fraksi, politik kronisme, politik bejat yang hanya akan memusnahkan hidup rakyat.

Kembalikan sinar gemilang politik Islam yang dalamnya terkandung pengajaran dan pendidikan menjadikan rakyat hidup saling toleransi. Memetik kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, PAS adalah pilihan 'mass base party' yang ada selepas Umno tidak lagi membela rakyat. Maka PAS adalah harapan yang harus menjadi sandaran kepada seluruh masyarakat, bukan sahaja Melayu, sebaliknya bukan Melayu sekalipun untuk bernaung.

Rasailah pemerintahan politik Islam yang jauh lebih baik. Terimalah pelaksanaan hukum-hukum Islam yang diagendakan PAS sejak dahulu, dan rasailah faedah bersama pemerintahan Islam khasnya menerima penuh pelaksanaan Hudud sepertimana yang disebutkan Dr Balachandran Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), untuk kehidupan yang lebih berkebajikan dan makmur.

Perang antara Najib dan Mahathir sebenarnya tidak menjanjikan Malaysia semakin makmur andai salah satu kumpulan menang. Sudah lama kita memberi mereka 'nafas' untuk menyentap semula nafas kita. Maka perubahan harus berlaku dalam PRU14. HARAKAHDAILY 13/10/2015.

 

 

Share on Myspace