Krisis PAS tidak jejas sokongan bukan Islam

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Krisis yang berlaku di dalam PAS tidak menjejaskan sokongan orang bukan Islam terhadap parti itu sama ada kaum India ataupun Cina, demikian tegas Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam.

Bahkan katanya, krisis itu langsung tidak mempengaruhi mereka untuk terus bersama dengan PAS apatah lagi semakin ramai di kalangan kaum India hampir di seluruh kawasan menyatakan kebersamaan dengan PAS.

"DHPP yang kini sedang mengadakan jelajah setiap negeri bermula 7 Oktober lalu bertujuan untuk menambahkan jumlah ahli di kalangan mereka.

"Kita mula turun ke setiap negeri sebagai usaha tambah ahli serta membentuk jawatankuasa di peringkat negeri.

"Kami temui ahli-ahli diperingkat akar umbi, respons mereka kepada kita sangat baik dan menyatakan kesungguhan untuk bersama kita," katanya ketika ditemui di sini.

Pada 7 dan 8 Oktober lalu DHPP turun ke bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan Penang dan di jangka pada 22 Oktober ini mereka akan bersama ahli di peringkat negeri Perak dan Selangor.

Katanya, DHPP merupakan salah satu platform yang sesuai untuk ahli di kalangan bukan Islam untuk bersama-sama dengan PAS.

"Apatah lagi, orang-orang India khsusnya yang dahulu menyokong MIC kini berpaling arah dan mula berjinak-jinak dengan DHPP.

"Bagi mereka MIC bukan lagi parti yang boleh membela mereka yang kebanyakkan berpendapatan rendah dan tinggal di ladang," ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Share on Myspace