Hijrah: Teruskan perjuangan, Islam akan menang

HARAKAHDAILY | .

SEMPENA Awal Muharram dan Hijratul Rasul, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mengucapkan Selamat Tahun Baru 1437 dan salam Maal Hijrah.

Sesungguhnya Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang telah diuji dengan pelbagai mehnah, berhijrah meninggalkan tanah air mereka di Makkah ke Madinah, kerana semata-mata untuk menegakkan negara serta perundangan Islam.

Marilah kita bersama-sama pada hari ini, merenung sejenak dan memperingati pengorbanan serta segala daya usaha yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya, dalam menyambung perjuangan kita menegakkan Islam.

Kita sedang menghadapi ‘tribulasi yang sama, bukan sahaja dari kalangan mereka yang tidak beriman, bahkan daripada kalangan masyarakat umat Islam sendiri, sama ada yang pernah bersama dengan kita atau daripada mereka yang berkuasa dan memerintah.

Kerajaan yang terus mencari helah, tidak mahu tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah, meneruskan dasar dan amalan perkauman yang sempit, nasionalis mahupun dari kelompok golongan sosialis, kapitalis, liberal dan sebagainya.

Materialistik dan leka dengan hidup dunia yang sementara, para pemimpin mengumpulkan kekayaan sehingga berlaku penyelewengan, mengkhianati amanah rakyat, melakukan pembangunan bukan untuk rakyat, tetapi untuk projek dan meraih laba peribadi.

Rakyat dibebankan dengan tanggungan kehidupan, ekonomi yang semakin parah, mata wang negara menyusut nilainya, kehilangan wang bukan jutaan tapi berbilion ringgit, dengan skandal dan penyalahgunaan kuasa, kemungkaran yang semakin terserlah, walaupun cuba dipUtarbelitkan dan sembunyikan oleh pemerintah.

Dengan mencipta pelbagai alasan, cukai GST yang menzalimi rakyat dilaksanakan, harga keperluan utama minyak petrol dan diesel dinaikkan sewenang-wenangnya dan yang terbaru, kenaikan kadar tol yang pasti menekan kehidupan rakyat.

Saya menyeru seluruh rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya, bersempena tahun baru hijriah dan Maal Hijratul Rasul hari ini, meneruskan perjuangan dengan tekad dan penuh keyakinan, sesungguhnya Islam itu akan menang!

Justeru itu, kita perlu istiqamah dengan meningkatkan usaha, memantapkan saf perjuangan dan menajamkan strategi, menghadapi pilihan raya kali ke-14 dan sehinggalah kita diberikan Allah rahmat kemenangan, insya Allah!

Dengan mengambil semangat hijrah ar-Rasul pada hari ini, kita tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan berdiam diri serta hanya menjadi pemerhati.

Saya menyeru seluruh rakyat serta masyarakat pelbagai lapisan agar bangkit membuat perubahan dan berhijrah bersama perjuangan yang dibawa oleh PAS untuk kesejahteraan dan kejayaan dunia hingga akhirat.

Segala macam idelogi ciptaan manusia telah terbukti gagal menyelesaikan kehidupan manusia, janganlah kita hidup bankrap di dunia ini, dan di akhirat pula menjadi seorang yang muflis.

YB SATIFUL BAHRI MAMAT
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri Paka
1 Muharram 1437/ 14 Oktober 2015 - HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace