Hijrah: Pastikan beristiqamah di atas jalan kebenaran

HARAKAHDAILY | .

PERUTUSAN TAHUN BARU 1437 DAN HIJRATUL RASUL

Firman Allah s.w.t:
وَالَّذِينَ هَاجَرُواْ فِي اللّهِ مِن بَعْدِ مَا ظُلِمُواْ لَنُبَوِّئَنَّهُمْ فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَلَأَجْرُ الآخِرَةِ أَكْبَرُ لَوْ كَانُواْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka ditindas oleh musuh islam, kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik dan sesungguhnya pahala yang lebih besar menanti mereka di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. (Al-Nahl: ayat 41)

Tahun baharu Islam perlu dijadikan agenda penting seluruh umat Islam untuk lebih berusaha, berstrategi dan melebarkan dakwah islamiyyah. Setiap kali umat Islam menyambut tahun baharu hijri, peristiwa Hijratul Rasul menjadi sebutan umum dalam masyarakat. Peristiwa hijrah dijadikan asas dalam penetapan tahun baharu adalah disebabkan bermula hijrahlah umat Islam mula melebarkan empayar kekuasaan diseluruh pelosok dunia. Hijrah juga menuntut kepada pengorbanan yang tinggi terhadap tuntutan agama Islam.

Kejayaan hijrah Rasulullah S.A.W. dan para sahabat Baginda dapat kita lihat di mana mereka berjaya merubah masyarakat dari sudut kepercayaan, sikap, moral dan cara berfikir daripada anutan jahiliyah kepada pegangan agama. Intipati daripada hijrah ini memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk berpindah daripada perkara-perkara negatif yang ada dalam diri mereka kepada perkara-perkara positif yang selari dengan ajaran Islam.

Umat Islam hendaklah sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak boleh hanya berpeluk tubuh menyerah urusan kepada takdir tanpa ada usaha memperjuangkan kebenaran. Lihatlah bagaimana umat Islam terdahulu telah berjihad secara habis-habisan sehingga mereka berjaya meletakkan Islam di tempat yang paling mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita pula untuk memberi sumbangan kepada perjuangan agama yang suci ini agar ia terus dipandang mulia, digeruni dan dihormati.

Sempena tahun baharu 1437 dan memperingati peristiwa Hijratul Rasul, sama-samalah kita pasakkan keimanan dan pastikan diri kita beristiqamah di atas jalan kebenaran. Bina kekuatan ukhuwwah dan keizzahan peribadi muslim, hendaklah berlepas diri daripada segala doktrin sesat yang menyeleweng dan hendaklah menerima tuntutan Islam tanpa sekelumit curiga dan alasan insya Allah akan diberi keberkatan.

#‎Merakyatkan‬ Membangun Bersama Islam#
‪#‎Hijrah‬ Kearah Kemenangan hakiki#

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB
MENTERI BESAR KELANTAN
- HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace