Perutusan 1437H: Hijrah dan keberkatan

HARAKAHDAILY | .

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisa': 100)

Alhamdulilah diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk melangkah ke tahun baru 1437 Hijrah sebagai golongan yang istiqamah dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh berjuang untuk menghijrahkan diri kepada jalan keredhaan Allah SWT dengan meninggikan kalimah-Nya di atas bumi Malaysia yang tercinta.

Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) sentiasa optimistik bahawa keberkatan hidup manusia di dunia dan akhirat akan jadi tuntas dan bermatlamat, bila mendapat sentuhan wahyu yang qudus.Hanya Allah yang mengetahui keperluan hamba-hambaNya dan Islam sebagai alternatif terbaik di dalam mencapai penghijrahan yang hakiki tersebut.

Suntikan roh Hijrah Rasulullah SAW dalam jiwa ummah yang lemah dan mandul wajib diperkasakan. Asas tamadun Islam ialah bermula dari sifat penghijrahan jiwa nafsu kepada mengabdi diri kepada Allah SWT dan dari sistem jahiliyah yang rapuh kepada sistem hidup Islam yang komprehensif.

Kebobrokan pegangan tauhid, ketidakadilan undang-undang manusia, kepincangan urus tadbir negara, sistem ekonomi yang hanya mementingkan keuntungan dan menindas, polisi cukai yang membebankan rakyat, masyarakat yang hedonistik dan materialistik, kesopanan budaya bangsa yang semakin terhakis dan lemah, bukti bahawa betapa perlunya penghijrahan yang menyeluruh dan bersepadu diperlukan agar pemimpin dan rakyat memiliki jatidiri hamba yang bertaqwa.

Justeru itu, DUPNS menyeru seluruh rakyat negeri Selangor khususnya agar dapat bersama-sama berhijrah dengan Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi meraih kesejahteraan dan sistem nilai yang mampu menjamin agama, nyawa, harta benda, keturunan yang mulia dan kewarasan akal fikiran.

USTAZ RIZWAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
1 Muharam 1437/14 Oktober 2015 - HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace