Kenaikan tol: Kerajaan BN seksa rakyat

USTAZ ROSLAN MD ESA | .

PENGUMUMAN kenaikan kadar tol oleh beberapa konsesi lebuhraya utama di negara ini berkuatkuasa 15 Oktober merupakan satu lagi langkah kerajaan Umno-BN pimpinan Daukt Seri Najib Razak menyeksa rakyat pasca kenaikan harga minyak.

Pengumuman tersebut adalah sangat mendukacitakan memandangkan sambutan tahun Hijrah Awal Muharram pada 14 Oktober dihiasi dengan kenaikan kadar tol pada keesokan harinya.

Usai Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Najib berjanji tidak akan membenarkan sebarang kenaikan harga minyak dan tol memandangkan kononnya beliau memahami rintihan rakyat, Najib bangga berslogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan tetapi sebaliknya rakyat berdepan dengan tekanan hasil kenaikan kos hidup yang melampau.

Namun segala janji itu akhirnya dicapati bukan ditepati, rakyat kebanyakan masih dan akan terus dibebankan dengan pelbagai kenaikan berantai.

Kerajaan pada 12 Oktober mengumumkan kenaikan kadar tol di Akleh, Guthrie, Karak, Latar, Smart Tunnel dan Maju Expressway.

Kenaikan antaranya di Karak (Bentong dan Gombak) masing masing antara RM3.50 dan 6.00 daripada asal RM3 dan RM5.

Kenaikan ini memangsakan pengguna lebuh raya yang sentiasa menggunakan kemudahan lebuh raya untuk memudahkan perjalanan walaupun pada masa yang sama mutakhir ini lebuh raya kerap berlakunya kesesakan luar biasa.

Bagi kami NGO Generasi, tindakan ini sebenarnya menzalimi rakyat malah tidak salah untuk disifatkan satu tindakan yang sengaja membangsatkan rakyat khususnya kaum Melayu yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Dimanakah letaknya slogan membela Agama, Bangsa dan Negara? Yang jelas kelihatan Agama tidak dituruti, Bangsa dibangsatkan dan Negara diKorbankan.

Dalam isu kenaikan kadar tol ini, NGO Generasi sekali lagi mengingatkan kerajaan untuk mengkaji semula setiap perjanjian yang dibuat bersama konsesi iaitu sejak dahulu dilihat hanya menguntungkan syarikat konsesi dan memangsakan rakyat.

Keuntungan yang dijana konsesi sejak bertahun lamanya tidak pernah dikongsi bersama rakyat atau pengguna dalam apa juga bentuk, sebaliknya kini kenaikan diumumkan kononnya kerana ia termaktub dalam perjanjian konsesi.

Rakyat yang berdepan dengan kenaikan ini pastinya akan sekali lagi terpaksa mengira semula belanjawan daripada pendapatan mereka yang semakin mengecil akibat kejatuhan Nilai RM.

Selain itu kami melihat kenaikan ini berlaku di kawasan bandar dan lebuh raya yang menghubungkan antara bandar ke bandar lain.

Kenaikan yang dimaksudkan berlaku di Akleh, Maju Expressway, Smart Tunnel yang masing-masing di kawasan bandar.

Maka pastinya anak-anak muda dan pekerja di Kuala Lumpur akan terkesan dengan kenaikan ini, selain kenaikan berantai harga barangan selepas ini akibat kesan kenaikan kos pengangkutan kalangan pemborong peniaga dan pengusaha yang pastinya menggunakan lebuh raya ini bagi mengangkut barangan perniagaan mereka.

Nah di sinilah perlunya kita semua anak generasi bangsa tanpa mengira kaum bangkit menentang kezaliman sang pemerintah ini.

Kita menuntut kenaikan ini dibatalkan dan kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi yang berat sebelah agar akhirnya nanti manfaat akan dirasai oleh rakyat.

Sudah cukup kerajaan membohongi rakyat dengan alasan kononnya kenaikan kerana mahu membangunkan negara dengan hasil yang dikutip, sebaliknya kembalikan hak rakyat yang diberi kesemuanya kepada konsesi sebelum ini.

Hak itu adalah hak untuk mendapat kemudahan jalan raya yang sempurna selepas rakyat membayar cukai GST dan pelbagai cukai lain yang dikatakan kerajaan demi pembangunan dan kemudahan untuk rakyat.

Mengambil semangat Awal Muharram peralihan tahun Hijrah maka NGO Generasi mengajak seluruh anak Malaysia menolak kerajaan Umno-BN yang telah lama menzalimi rakyat.

Ayuh generasiku bangkit lawan kezaliman! – HARAKAHDAILY 14/10/2015

Penulis ialah Presiden NGO Generasi

Share on Myspace