Kerajaan Pulau Pinang dah jadi macam Umno

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) menyatakan kekesalan atas sikap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang secara tiba-tiba menafikan bantuan kewangan tahun ini kepada Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).

“Sesuatu yang aneh, pelik dan meragukan apabila surat makluman pemberian bantuan yang diserahkan kepada wakil SRIA oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) pada 3 September 2015 secara tiba-tiba ditarik balik pada hari yang sama,” ujar Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah.

Kekesalan itu ekoran bantuan yang telah diberikan semenjak 2009 itu, tiba-tiba diputuskan untuk tidak diteruskan pada tahun ini. Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang memberi alasan bahawa tidak pernah menyediakan ‘geran tetap’ dan sebaliknya diberikan secara bergilir-gilir berdasarkan keperluan.

“BPPNPP tidak menafikan peruntukkan kepada SAR tahun ini telah diagihkan oleh Kerajaan Negeri walaupun 'lewat' hingga ke penghujung tahun. Namun, persoalannya mengapa dua buah sekolah ini dikeluarkan daripada senarai penerima?

“Jika demikian, sila kemukakan laporan kajian berasaskan keperluan yang dimaksudkan untuk memberhentikan bantuan. Realitinya semua SAR di negeri ini masih memerlukan bantuan dan sokongan,” ujar beliau lagi.

Tindakan tidak demokratik Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang itu mengakibatkan lebih 500 pelajar yang kebanyakannya terdiri dari pelajar miskin termasuk hampir 80 kakitangannya bakal terjejas.

“Tahun Baharu Hijrah 1437 yang disambut hari ini oleh seluruh umat Islam terpaksa dirai dengan linangan air mata dan kesedihan oleh para guru, kakitangan, ibu bapa, para pelajar dan seluruh warga SRIA dan SRIBU di atas tindakan yang tidak bertamadun ini.

“BPPNPP menggesa Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dapat bersikap profesional seperti Kerajaan Negeri pimpinan PAS di Kelantan yang masih meneruskan bantuan kepada seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik,” tegas Ustaz Yusni.

Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang diingatkan tidak mencontohi segala tingkah laku Umno-BN jika berhasrat ke Putrajaya.

Beliau turut membidas kononnya Ketua Menteri yang kerap mahu mencontohi Khalifah 'Umar bin 'Abdul 'Aziz yang memiliki sifat kebijaksanaan, keadilan, jujur dan berani lahir dari hati beliau yang ikhlas. namun, yang berlaku hanya momokan politik murahan untuk mengaburi rakyat agar dapat terus kekal berkuasa. – HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace