Kenaikan tol: Rakyat terus menjadi mangsa

HARAKAHDAILY | .

ISU mengenai kenaikan harga tol kembali menjadi perhatian selepas pengumuman mengenai kenaikannya bermula Khamis ini. Walaupun pelbagai asas dan alasan dibangkitkan bagi menampakkan relevansi kenaikan tersebut, namun hujungnya bebannya tetap terpikul di bahu rakyat biasa.

Kontroversi mengenai pengurusan tol di Malaysia sudah bermula sejak pembinaan lebuhraya utara selatan pada pertengahan 1980-an lagi, apabila kerajaan menyerahkan tendernya kepada syarikat United Engineers Malaysia (UEM), sebuah syarikat yang hampir lumpuh (insolvent company). UEM tiada pengalaman dalam pembinaan jalanraya dan terpaksa memanggil syarikat luar bagi mengelola pembinaan lebuh raya utara selatan ketika itu.

Dasar Penswastaan yang diperkenalkan kerajaan ketika itu jelas mengetepikan kepentingan awam apatah lagi kemudahan jalan raya adalah milik kepentingan awam yang seharusnya dijaga oleh kerajaan. Pengurusan pembinaan lebuh raya yang pertama di Malaysia iaitu lebuhraya utara selatan diasaskan kepada perkongsian awam-swasta dan ia berkembang sehinggalah lahirnya kira-kira 30 lebuh raya di Malaysia.

Kesan daripada polisi dan perjanjian yang meminggirkan kepentingan rakyat tersebut terus dirasai sehingga ke hari ini dan saban tahun isu kenaikan tol merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan daripada perjanjian konsesi tol kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi.

Pada 2014, PLUS membekukan kenaikan tol di samping mengetepikan bayaran ganti rugi sebanyak RM2.6 bilion yang sepatutnya dituntut daripada kerajaan. Dalam masa yang sama, syarikat MTD Prime juga pernah menghapuskan kutipan tol di Lebuh raya Metramac 7 tahun dari tarikh konsesinya yang berakhir pada 2018. Namun, tindakan dua syarikat tersebut tidak disambut oleh baki 28 syarikat konsesi tol yang lain.

Pada Jun 2014, Kementerian Kerja Raya bersama-sama Kementerian Kewangan, Unit Perkongsian Awam-Swasta telah mengadakan penelitian terhadap permasalahan konsesi tol. Namun, ia dilihat tidak menampakkan hasil yang setimpal. Kini, rakyat terutamanya di Lembah Klang terpaksa membayar kos kenaikan harga tol yang baru diumumkan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan kerajaan meluluskan kenaikan tersebut jelas tidak bertepatan dengan keadaan semasa ekonomi Malaysia yang terus terumbang-ambing. Kesusahan rakyat seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan ketika kenaikan tol ini diluluskan.

DPPM tetap bersama dengan tuntutan rakyat mendesak kerajaan supaya meneliti semula perjanjian konsesi (Consession Agreement) dengan pihak swasta dan mestilah menemui noktah penyelesaian yang membebaskan rakyat daripada terjerut dengan perjanjian berat sebelah yang terpaksa ditanggung. Ini apatah lagi dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang begitu dirasai ketika ini.

Jika tidak, janji kerajaan akan kekal dilihat janji manis dan kosong daripada sebuah kerajaan yang berhak ditolak oleh rakyat.

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Ahli Parlimen Pasir Mas
Rabu, 14 Oktober 2015 | 1 Muharram 1437H - HARAKAHDAILY 14/10/2015

Share on Myspace